BAS ekspres yang terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Kilometer 75.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Gurun, di Gurun, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan Bomba
BAS ekspres yang terbakar selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Kilometer 75.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Gurun, di Gurun, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Gurun: Pemandu bas ekspres rentung apabila bas dipandunya itu terbakar selepas terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 75.2 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara dekat sini, awal pagi hari ini.

Bagaimanapun, enam orang termasuk pembantu pemandu bas, empat penumpang serta pemandu lori treler itu selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Mohd Fauzi Razali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 4.02 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Guar Chempedak yang diketuai Awa Suziana Abd Wahid, dan dibantu pasukan BBP Aman Jaya serta BBP Pendang tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 memaklumkan menerima panggilan kecemasan kebakaran bas.

"PGO Kedah kemudian mengarahkan jentera empat jentera termasuk kenderaan EMRS (Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan) ke lokasi kejadian selain bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Gurun yang turut dikerah ke lokasi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Fauzi berkata, Komander Operasi melaporkan, sebaik tiba di lokasi, didapati kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas ekspres dengan sebuah treler di situ.

Beliau berkata, bas itu dipercayai terbakar akibat kemalangan itu dan terdapat seorang mangsa iaitu pemandu bas itu yang tersepit dan ditemukan rentung.

"Namun, enam mangsa lagi termasuk lima di dalam bas ekspres dan pemandu treler itu terselamat.

"Pemandu bas yang maut dianggarkan berusia 42 tahun. Lima mangsa lain yang selamat termasuk penumpang dan pembantu pemandu berusia antara 19 hingga 57 tahun. Pemandu treler yang berusia 32 tahun turut selamat.

"Operasi pemadaman lanjut dan pengurusan mangsa di tempat kejadian masih dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 8:08 AM