KEADAAN treler membawa muatan gula mentah yang terjunam ke bawah jambatan. FOTO Omar Osman
KEADAAN treler membawa muatan gula mentah yang terjunam ke bawah jambatan. FOTO Omar Osman
Oleh Omar Osman


Sungai Petani: Seorang lelaki cedera selepas kenderaan dipandunya terhumban dari ketinggian lima meter ke bawah jambatan di Kilometer 86.3, Lebuhraya PLUS arah utara, berhampiran susur keluar Plaza Tol Gurun, hari ini.

Kejadian 12.45 tengah hari itu menyebabkan pemandu, Mohd Iswandi Adzmi, 33, melecur 30 peratus dari paras pinggang ke kaki apabila treler membawa muatan gula mentah terbabit terbakar.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.54 tengah hari lalu bergegas ke tempat kejadian bersama sebuah jentera, Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) serta jentera BBP Guar Chempedak dengan kekuatan 11 anggota.

Menurutnya, sebaik tiba, pihaknya mendapati treler terjunam di bawah jambatan lebuh raya dan bahagian depannya terbakar.

“Berikutan itu, anggota terpaksa menggunakan peralatan pemotong sebelum mangsa dikeluarkan pada 3.40 petang. Mangsa yang cedera serta melecur 30 peratus kemudian dikejarkan ke HSAH oleh ambulans,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas treler dipandu mangsa dari Changlun terbabas lalu merempuh penghadang besi pada jambatan sebelum terjunam ke bawah lalu terbalik dengan kesemua tayarnya ke atas.

“Akibat itu, bahagian depan treler yang dalam perjalanan dari Butterworth, Pulau Pinang ke Alor Setar, Kedah terbakar dan pemandunya tersepit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 9:15 PM