Akaun Instagram Siti Hafiza dipercayai sudah dinyah aktifkan.
Akaun Instagram Siti Hafiza dipercayai sudah dinyah aktifkan.
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Ketika nama anaknya kembali menjadi bualan hangat di media sosial, ibu kepada Aliff Aziz iaitu Siti Hafiza 'lenyap' di Instagram.

Tinjauan Harian Metro di Instagram mendapati akaun Siti Haifza yang kerap memuat naik kata-kata nukilan berunsur kerohanian tidak lagi wujud dipercayai sudah dinyah aktifkan.

Sebelum ini, Siti Hafiza kerap memuat naik kata-kata semangat dan nasihat buat Aliff yang berdepan masalah rumah tangga dengan isteri, Bella Astillah susulan dia didakwa berkhalwat dengan pelakon, Ruhainies, baru-baru ini.

Namun, 'kehilangan' akaun Instagram Siti Hafiza juga dipercayai berkaitan dengan tindakan seorang wanita malam tadi, Sarah Yasmine yang mendakwa sebagai kekasih Aliff sejak Januari lalu.

Menurutnya, tujuan dia mendedahkan perkara itu kerana tidak sanggup melihat Aliff berseorangan dicerca dan dihina.

Malah, dia turut mendakwa Ruhainies menghasut Aliff supaya melupakan Bella.

Pada 9 Mac lalu, dunia hiburan kecoh apabila Aliff dan pelakon Ruhainies ditahan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) disyaki berkhalwat di sebuah kondominium, di sini.

Bella kemudian memfailkan cerai pada 13 Mac lalu secara ekspres, namun pada sebutan kedua permohonan itu pada 4 April lalu, Aliff enggan menceraikannya.

Aliff memberi alasan dia masih sayangkan Bella dan mahu menyelamatkan rumah tangga mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 11:40 AM