AIMAN dan Zahirah bahagia menantikan cahaya mata kedua.
AIMAN dan Zahirah bahagia menantikan cahaya mata kedua.
Najiy Jefri


KEDATANGAN Ramadan al-Mubarak membawa pelbagai pengertian dan penuh makna. Ramadan membuka peluang kepada umat Islam melipatgandakan amalan serta mengharap rahmat dan keampunan-Nya.

Apabila berpeluang berada dalam bulan Ramadan, ia sesuatu perkara yang harus disyukuri.

Bagi pasangan selebriti Aiman Hakim Ridza dan Zahirah MacWilson perasaan teruja digambarkan lebih-lebih lagi apabila mereka bakal menerima kehadiran cahaya mata kedua tidak lama lagi.

Demi memberi keselesaan kepada keluarganya, Aiman berkata, dia sanggup mengosongkan jadual seninya selama enam bulan bagi memberi fokus pada proses ubah suai kediaman rumah baharu.

Teruja menyambut Ramadan di rumah peribadi yang sudah diubah suai, Aiman berkata, dia menolak tawaran berlakon dan projek sempena Aidilfitri selama enam bulan lalu kerana mahu keluarganya hidup selesa selepas kontraktor yang sepatutnya mengubahsuai kediaman baharu tidak dapat menyempurnakan kerja dengan baik.

"Kami sudah lama tinggal di kediaman ini, tapi barulah berpeluang nak ubah suai sepenuhnya dan selesai. Alhamdulillah, ini rezeki anak.

AIMAN Hakim Ridza tolak tawaran dalamn bidang seni untuk ubah suai rumah untuk keselesaan isteri dan anak.
AIMAN Hakim Ridza tolak tawaran dalamn bidang seni untuk ubah suai rumah untuk keselesaan isteri dan anak.

"Sebenarnya, mulanya kami memang ada upah kontraktor, tapi tak berapa gembira dengan kerjanya, jadi saya buat sendiri sebab saya ada sedikit ilmu.

"Saya memang tak ambil tawaran berlakon selama enam bulan untuk fokus siapkan kediaman dan akhirnya, hilang tekanan bila lihat rumah sudah siap.

"Saya tolak semua tawaran sejak enam bulan lepas sebab keutamaan adalah keluarga. Saya mahu isteri dan anak duduk dalam keadaan selesa, lebih-lebih lagi mahu menimang cahaya mata kedua pada Jun depan," katanya.

Menurut Aiman, walaupun mengalami kerugian disebabkan hasil kerja kontraktor itu, namun dia tetap positif dan percaya kepada rezeki.

"Rugi itu memang tidak boleh dinafikan. Meskipun orang itu tak buat kerja dengan baik, tetap ada sumbangan yang diberikan.

"Kita pun belajar dari silap orang, ketidaksempurnaan orang, sebenarnya bukan untuk kita kritik semata-mata, tapi sebagai iktibar. Kita patut belajar daripada apa cara sekalipun. Rugi itu tak penting, sebaliknya kami selesaikan benda yang tertangguh itu," katanya.

Sementara itu, Zahirah pula berkongsi mengenai kebahagiaan yang dinikmati kini turut membuatkan berat badannya semakin bertambah sebanyak 10 kilogram, di tambah pula dengan keadaan dirinya yang sedang berbadan dua.

"Kandungan

sudah memasuki tujuh bulan dan masih lagi bekerja. Buat masa ini saya masih okay dan kuat lagi.

"Berat badan naik... saya rasa perkara itu sesuatu yang normal tapi mungkin sebab saya aktif berkerja jadi tak nampak sangat.

"Saya naik 10 kilogram sekarang ini dan mungkin akan bertambah lagi. Alhamdulillah suami juga sangat mengambil berat dan sentiasa memastikan saya berada keadaan baik," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi Hari Raya Clarks With Zahirah di The Exchange Mall, di sini, baru-baru ini.

Teruja menantikan kehadiran anak kedua, Zahirah berkata, individu yang paling seronok untuk menerima kehadiran insan baharu dalam keluarga adalah anak sulungnya, Isaac Raees.

"Dia sangat teruja, setiap hari akan cium perut saya dan bercakap dengan adiknya. Dia pun sudah beritahu semua orang dia akan jadi abang.

"Nampak dia punya kematangan dan sikap sebagai seorang abang," katanya.

Dalam pada itu, Aiman memberitahu ragam Zahirah ketika mengandungkan anak kedua agak berbeza kali ini.

"Zahirah sangat aktif dan tak tahu mana datang tenaganya.

"Dia sebelum ini sangat menjaga makanan dan tidak minum minuman bergas, tapi kali ini semua dia 'belasah'.

"Biasanya saya yang makan nasi lemak dan minum minuman bergas tapi kali ini dia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 6:00 AM