AIMAN tak berdebar jumpa ibu Zahirah
AIMAN tak berdebar jumpa ibu Zahirah
Najiy Jefri


AIDILFITIRI tahun ini memberikan kebahagiaan berganda buat pelakon yang juga pasangan kekasih, Aiman Hakim Ridza dan Zahirah MacWilson.

Walaupun belum merancang pada hari raya ke berapa untuk meraikan bersama, Aiman dan Zahirah mengakui Aidilfitri kali ini cukup bermakna.

Aiman mengharapkan ikatan percintaan dengan Zahirah yang dibina akhir tahun lalu berjalan lancar.

Dia juga mengakui sudah mempunyai perancangan untuk melangkah ke fasa seterusnya dengan wanita pilihan hatinya itu.

“Menerusi kenyataan sebelum ini saya pernah beritahu merancang ke fasa seterusnya. Bagaimanapun, setiap apa yang ingin dilakukan perlu mengikut proses.

“Antaranya saya perlu memastikan keluarga kedua-dua setuju dengan ikatan yang ingin dibina ini dan majlis yang ingin dilakukan. Sebenarnya semua masih dalam perbincangan.

Aiman dan Zahirah bersama ibu Zahirah, Maslinda Yusoff yang berkunjung ke Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Aiman dan Zahirah bersama ibu Zahirah, Maslinda Yusoff yang berkunjung ke Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Jadi, selagi belum ada tarikh rasmi saya tidak mahu terlalu bercerita lebih kerana tidak mahu perkara tidak diingini berlaku. Lagipun, saya perlu menghormati keluarga kami sebelum memberikan sebarang kenyataan mengenai perancangan kami untuk berkahwin atau bertunang,” katanya.

Bagi Zahirah, walaupun sudah mempunyai sasaran untuk menamatkan zaman bujang, mereka hanya mampu merancang dan selebihnya berserah kepada Allah.

“Saya perlu tengok juga waktu yang sesuai kerana keluarga menetap di Perth, Australia. Jadi, banyak perkara perlu disusun seperti membawa keluarga ke sini dan begitu juga dengan keluarga Aiman.

“Saya bersyukur hubungan kami dipermudahkan dan berjalan lancar. Jika sudah sampai waktunya, saya pasti akan kongsikan butirannya kepada semua,” katanya.

Dalam pada itu, Aiman ketika ditanya mengenai perjumpaannya dengan keluarga Zahirah di Perth baru-baru ini berkata, dia tidak kekok kerana pernah bertemu dengan ibu Zahirah di Malaysia sebelum ini.

“Sepanjang lima hari bersama keluarga Zahirah, semuanya berjalan dengan baik. Mereka melayan saya seperti keluarga sendiri.

“Saya tidak berdebar atau takut kerana pernah bertemu ibu Zahirah di Malaysia ketika dia membuat kejutan bertemu Zahirah. Ketika di Perth, kami dapat mengenali dengan lebih dekat dan banyak perbincangan dilakukan,” katanya.

ZAHIRAH RAYA DI PERTH, AIMAN PULA BERAHSIA

Walaupun sibuk dengan penggambaran drama Curi Curi Cinta, Zahirah tetap berpeluang menyambut Aidilfitri bersama keluarganya di Perth.

Zahirah berkata, Aidilfitri disambut sama seperti sebelum ini iaitu lebih bersederhana memandangkan dia seorang yang suka berlebihan.

“Kawasan tempat tinggal ibu di sana ramai orang Melayu, jadi kami tidak sunyi. Selain itu, ada ramai lagi rakyat negara lain yang beragama Islam menetap di sana.

AIMAN dan keluarga Zahirah ketika di Perth.
AIMAN dan keluarga Zahirah ketika di Perth.

“Pada pagi raya semua akan berjalan ke masjid. Dari situ kami dapat berkenalan dengan bangsa lain. Pendek kata, suasana raya tetap dirasai dan tidak ada sebab untuk saya berasa sunyi,” katanya. Bagi Aiman pula, dia memilih merahsiakan destinasi Aidilfitri yang disambut tahun ini.

“Tahun ini destinasi saya beraya adalah rahsia. Beberapa tahun kebelakangan ini saya bersama keluarga selalunya akan pergi bercuti kerana kami sudah tiada kampung.

“Saat yang paling saya suka ketika Aidilfitri ialah ketika bersama keluarga menikmati juadah seperti rendang dan lemang pada pagi raya,” katanya.

TAK KEKOK BERPASANGAN DENGAN AIMAN DALAM CURI-CURI CINTA

Bercerita mengenai drama bersiri Curi-Curi Cinta yang bakal melabuhkan tirainya kurang seminggu lagi, Zahirah mengakui dia teruja apabila mendapat maklum balas positif daripada peminat.

Menurut Zahirah, walaupun bergandingan dengan Aiman, dia tidak kekok langsung sebaliknya setiap kerja perlu dilunaskan secara profesional.

“Saya sangat senang dan selesa bekerja dengan Aiman kerana kami bukan sekadar pasangan kekasih tetapi juga rakan baik. Dalam hubungan kami, bukan semuanya berkisar mengenai cinta. Kerja tetap kerja dan kami perlu profesional.

“Langsung tiada perasaan kekok atau malu ketika bekerja bersama sebab itulah tugas kami. Kami perlu menjadi pelakon serba boleh walaupun bergandingan dengan pasangan sendiri.

“Sama juga ketika berlakon dengan bapa, saya okey dan tiada apa yang kekok pun,” katanya yang yang membawa watak Intan Raihana dalam drama bersiri berkenaan yang ditayangkan sepanjang Ramadan dan Syawal ini.

Selain Zahirah dan Aiman, ia turut dibintangi Uyaina Arshad, Fauziah Nawi, Adam Lee, Talha Harith, Izzue Islam, Pablo Amirul, Ku Fridah dan Laila Nasir.

AIMAN Hakim dan Zahirah
AIMAN Hakim dan Zahirah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 6:00 AM