Pengunjung melihat antara 36 keping potret Orang Asli suku kaum Bateq dan Semoq Beri yang mendiami pedalaman Kelantan dan Terengganu, yang dipamerkan di galeri Pictorico, Tokyo Jepun pada Januari lepas.
Pengunjung melihat antara 36 keping potret Orang Asli suku kaum Bateq dan Semoq Beri yang mendiami pedalaman Kelantan dan Terengganu, yang dipamerkan di galeri Pictorico, Tokyo Jepun pada Januari lepas.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Potret Orang Asli suku kaum Bateq dan Semoq Beri yang mendiami pedalaman Kelantan dan Terengganu 'diterbangkan' ke Tokyo, Jepun, baru-baru ini untuk dipertontonkan kepada masyarakat di negara Matahari Terbit.

Ia dipamerkan menerusi pameran fotografi bertajuk Hunter-Gatherers of the Malaysian Rainforest; Bateq and Semoq Beri anjuran Research Institute for Languages and Cultures of Asia and Africa, Tokyo University of Foreign Studies (TUFS) dan TUFS Field Science Commons di dua galeri, masing-masing pada Januari dan Februari lalu.

Sebanyak 36 foto Orang Asli suku kaum Bateq dan Semoq Beri yang menceritakan mengenai kehidupan mereka seperti makanan, perubatan, tempat tinggal dan perhiasan selain beberapa peralatan Orang Asli seperti alat muzik tradisional iaitu Gingong, sikat buluh dan beg mengkuang dipamerkan.

Semua gambar berkenaan hasil bidikan jurugambar profesional dan penyelidik bebas, Suzairi Zakaria atau lebih mesra dikenali sebagai Dome Nikong.

Dome yang berasal dari Setiu, Terengganu mendokumentasi perjalanan kehidupan Orang Asli suku kaum Bateq di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan dan Semoq Beri di Tasik Kenyir sejak 15 tahun lalu, selain aktif dengan usaha konservasi hutan.

Peralatan Orang Asli suku kaum Bateq dan Semoq Beri.
Peralatan Orang Asli suku kaum Bateq dan Semoq Beri.

Katanya, pameran fotografi itu bertitik-tolak daripada jemputan seorang ahli antropologi Jepun, Dr Aya Kawai yang sebelum ini beberapa kali berkunjung ke penempatan Orang Asli di Kampung Kuala Koh untuk melakukan kajian mengenai etnik itu.

"Beliau (Kawai) tahu saya selalu buat kerja dokumentasi Orang Asli suku kaum Bateq dan Semoq Beri. Jadi beliau menyatakan minat mempamerkan gambar yang saya rakam untuk diperlihatkan kepada masyarakat Jepun.

"Saya teruja berkongsi gambar nadir ini kepada masyarakat luar, apatah lagi ini kali pertama karya saya mendapat perhatian di peringkat antarabangsa, mungkin kurang diminati di tempat kita, namun ia membawa kepada percambahan minat mereka yang berada jauh nun di sana (Jepun)," katanya.

Dome berkata, perancangan mengadakan pameran itu dimulakan sejak Ogos tahun lalu menerusi pelbagai siri perbincangan bersama Kawai serta pihak galeri di Tokyo yang dilakukan menerusi aplikasi persidangan video, Zoom.

Ahli antropologi Jepun, Dr Aya Kawai bersama potret Orang Asli suku kaum Bateq dan Semoq Beri yang mendiami pedalaman Kelantan dan Terengganu, yang dipamerkan di Tokyo, Jepun baru-baru ini.
Ahli antropologi Jepun, Dr Aya Kawai bersama potret Orang Asli suku kaum Bateq dan Semoq Beri yang mendiami pedalaman Kelantan dan Terengganu, yang dipamerkan di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

Lebih menarik, katanya, ketika pameran yang berlangsung pada Januari itu, dia diberikan peluang bersoal jawab bersama pengunjung serta berkongsi pengalaman dalam mendokumentasikan kehidupan kedua-dua suku kaum itu.

"Dalam koleksi peribadi, ada lebih 20,000 gambar Orang Asli. Untuk pameran ini, saya senarai pendek kepada 60 iaitu 30 gambar Orang Asli suku kaum Bateq dan 30 Semoq Beri... yang akhir final Aya (Kawai) dan pihak galeri tentukan.

"Kebanyakan gambar mewakili cara hidup mereka di dalam hutan," katanya yang berharap pameran sama diadakan di sini, bagi mengetengahkan keunikan masyarakat pribumi itu kepada orang ramai.

Sementara itu, Kawai berkata, beliau memulakan penyelidikan awal mengenai Orang Asli di Malaysia pada 2009 dan tinggal dengan suku Bateq di Kuala Koh setahun kemudian untuk meneruskan penyelidikan terhadap suku itu.

"Tujuan utama projek ini ialah mahu mendedahkan kepada orang Jepun mengenai kehidupan seharian orang tempatan yang saya selidiki di Malaysia.

"Saya mahu mereka tahu kehidupan mereka di hutan, mengumpul buah dan sumber asli, berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan pada masa sama mendapat upah dalam bentuk tunai dan menggunakan telefon pintar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 7:01 AM