DUA wanita Orang Asli Suku Semaq Beri mendukung bayi di Kampung Sungai Berua, semalam.
DUA wanita Orang Asli Suku Semaq Beri mendukung bayi di Kampung Sungai Berua, semalam.
BERNAMA

HULU TERENGGANU: Kawasan Penempatan Sementara Sekitar Kampung Gerdong, di sini yang menjadi tumpuan Orang Asli Suku Semaq Beri kini kosong dan ditinggalkan.

Tinjauan Bernama mendapati lebih 150 Orang Asli yang berada di situ sejak dua minggu lalu sudah bergerak ke kawasan hutan lain.

Seorang Orang Asli yang ditemui namun enggan dikenali berkata, kawasan berkenaan dikosongkan sejak petang kelmarin dan kebanyakan mereka memilih untuk tidak pulang ke penempatan di Sungai Berua, sebaliknya ke hutan yang lebih jauh berbanding sebelum ini.

Katanya, kumpulan Orang Asli dari suku Semaq Beri atau kaum hutan itu kebiasaannya akan tinggal dalam tempoh lebih kurang dua minggu sahaja di setiap lokasi dan akan bergerak ke hutan lain untuk mengelak sesuatu perkara buruk berlaku.

Pada Sabtu lalu, ketika kunjungan Bernama ke kawasan terbabit didapati terdapat 26 keluarga termasuk 56 kanak-kanak.

Orang Asli terbabit bukan sahaja membawa seluruh anggota keluarga dan barang makanan, tetapi juga haiwan peliharaan terutama kucing dan ayam.

ORANG Asli Suku Semaq Beri meninggalkan penempatan sementara mereka di Kampung Gerdong dan berpindah ke tempat baharu.
ORANG Asli Suku Semaq Beri meninggalkan penempatan sementara mereka di Kampung Gerdong dan berpindah ke tempat baharu.

Ketua kumpulan Orang Asli Semaq Beri Ibrahim Awang sebelum ini berkata, keputusan mereka masuk ke hutan adalah bagi mengelak penyakit berjangkit dengan Orang Asli suku Batek dari Kuala Koh yang berkunjung ke Sungai Berua pada awal bulan lalu.

Meskipun mengakui tindakan itu akan menyebabkan ramai anak-anak tidak ke sekolah, tetapi berita kematian demi kematian yang berlaku di Kuala Koh menyebabkan mereka tekad untuk keluar dari Sungai Berua.

Selain lebih 150 Orang Asli Semaq Beri di Kampung Gerdong terdapat ramai lagi yang berpindah ke kawasan hutan lain, namun tidak dapat dipastikan jumlah dan lokasi mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 6:01 AM