SA’AP (dua dari kanan) bertekad tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan. FOTO Ihsan Facebook Darul Takzim FC & Johor FA
SA’AP (dua dari kanan) bertekad tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan. FOTO Ihsan Facebook Darul Takzim FC & Johor FA
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Seorang kanak-kanak Orang Asli suku kaum Bateq tidak menyangka impiannya untuk menyertai Akademi Johor Darul Takzim (JDT) akhirnya menjadi kenyataan.

Sa'ap Baharom, 12, kanak-kanak Orang Asli suku kaum Bateq dari Kampung Aring 5, Pos Lebir ditawarkan menyertai akademi terbabit oleh Ketua Unit Pencarian Bakat dan Pembangunan Belia Johor Darul Takzim (JDT), Diego Griffa tiga hari lalu.

Menurut Sa'ap pada Khamis ini dia akan ke Johor bersama wakil JDT dan bertekad tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan.

"Saya rasakan bagai mimpi apabila mendapat peluang seperti ini kerana selama ini hanya berangan-angan untuk menyertai akademi bola sepak.

"Perasaan saya ketika ini bercampur-baur antara berdebar dan teruja.

"Saya berazam tidak akan mensia-siakan peluang untuk menggilap bakat yang ada supaya dapat menjadi pemain profesional suatu hari nanti. Saya ingin mengubah nasib keluarga," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sa'ap berkata lebih mengujakan apabila Griffa sendiri yang datang untuk berjumpa ayahnya Baharom Pinang, 50, bagi mendapatkan persetujuan.

Katanya, tidak dinafikan pernah mengimpikan untuk menyertai kelab bola sepak ternama suatu masa dahulu, namun menganggap ia hanya angan-angan kerana dia adalah anak Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman.

"Saya mula bermain bola sepak pada usia tujuh tahun di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi, dan mendapat sokongan cikgu-cikgu untuk menjadi wakil sekolah bermain di peringkat lebih tinggi.

"Saya menjadikan pemain remaja dari skuad JDT, Arif Aiman Hanapi sebagai idola dalam permainan bola sepak.

"Sudah lama saya bercita-cita untuk menjadi pemain tersohor seperti idola saya tetapi beranggapan ia adalah suatu yang mustahil kerana saya hanya anak kampung Orang Asli di Gua Musang," katanya.

Sementara itu bagi Penghulu Kampung Orang Asli Aring 5, Raina Anjang, 53, kejayaan Sa'ap menempatkan diri dalam akademi terbabit adalah satu kebanggaan buat masyarakat Orang Asli terutama bagi suku kaum Bateq.

"Kaum Bateq sangat berbangga dengan pencapaian Sa'ap kerana saya rasa dia adalah wakil pertama suku kami yang menjadi pilihan untuk bermain dengan kelab bola sepak profesional.

"Saya harap kisah kejayaan Sa'ap ini dapat menjadi aspirasi kepada anak-anak Orang Asli yang lain, malah lebih ramai suku Bateq yang akan terpilih kerana saya percaya masih ramai yang mempunyai bakat yang tersembunyi," katanya.

Semalam media melaporkan Ketua Unit Pencarian Bakat dan Pembangunan Belia JDT , Griffa terpaksa bermandi 'peluh' selama empat jam memujuk serta melamar permata dari masyarakat Orang Asli, Sa'ap Baharom untuk skuad akademi Harimau Selatan.

Usaha itu turut dibantu oleh kemahiran 'memujuk' yang dimiliki oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Arifin bersama Tok Batin di Perkambung Orang Asli Felda Aring 5.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 3:58 PM