ANAK-anak Orang Asli suku kaum Mendriq tidak ketinggalan   mengikuti sesi pembelajaran di Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
ANAK-anak Orang Asli suku kaum Mendriq tidak ketinggalan mengikuti sesi pembelajaran di Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
BERNAMA

Gua Musang: Suasana di ruang solat sebuah surau kecil di Kampung Lah di sini, hingar bingar, namun tidak berbekas pada seorang wanita yang begitu asyik merenung peranti pintar di tangan, seolah-olah ralit dalam dunianya sendiri.

Jari jemari lincah menekan aksara pada skrin sambil bibir yang dioles lipstik merah terkumat-kamit. Seketika kemudian jarinya terhenti menekan, kepala diangkat dan matanya melingas, meninjau sekeliling.

"Tuan, boleh bantu saya?" pintanya kepada seorang lelaki yang sebelum itu mundar-mandir dalam kalangan hadirin di surau tersebut.

Pemilik nama Ida Terang itu adalah antara 20 orang daripada suku Mendriq, komuniti Orang Asli yang bahasanya diancam kepupusan, dan mereka terpilih bagi membantu usaha memartabat serta memelihara bahasa tersebut.

Memanfaatkan teknologi, tugas Ida dan peserta lain ialah memasukkan istilah bahasa Mendriq berserta makna bahasa Melayu dalam Wikikamus, kamus dalam talian kendalian Wikimedia Malaysia yang melaksanakan inisiatif itu susulan laporan eksklusif Bernama bertajuk Bahasa Mendriq Dijangka Pupus 20 Tahun Lagi, pada Jun lalu.

"Saya amat gembira sebab tidak sangka ada pihak yang berminat untuk mengetahui lebih mendalam tentang bahasa kami dan berusaha memeliharanya dengan menyimpan bahasa kami dalam kamus.

"Saya rasa langkah ini bukan sahaja dapat menjamin masa depan bahasa kami tetapi juga memudahkan ahli masyarakat, sama ada dalam kalangan kami sendiri atau orang luar, mengakses bahasa Mendriq," katanya.

Bersemangat

Bekerja sebagai guru agama, Ida dan 19 lagi peserta berusia antara 20 hingga 50 tahun, 'berkampung' selama dua hari di surau itu, mengikuti bengkel anjuran Wikimedia Malaysia dan sukarelawan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ibu kepada dua anak kecil itu mengakui agak mencabar untuk menguasai teknologi telefon pintar, namun isu itu tidak menghalangnya untuk menyumbang demi kelangsungan bahasa ibunda.

Berjaya memasukkan 30 perkataan dalam sejam, wanita berusia 33 tahun itu berkata, dia akan terus berusaha memasukkan lebih banyak perkataan dari semasa ke semasa.

Peserta begitu bersemangat untuk membantu, dengan masing-masing - ada yang membawa cucu - datang seawal 9 pagi sekalipun bengkel dijadualkan pada 10 pagi.

Sepanjang dua hari itu, Wikikamus berjaya menyimpan 340 patah perkataan dan 107 klip audio sebutan bahasa Mendriq.

Jun lalu, warga tua suku Mendriq meluahkan keresahan tentang masa depan bahasa suku kaum mereka. Bahasa itu diancam kepupusan kerana jumlah penutur berkurangan.

Lebih parah, golongan muda mereka juga tidak lagi mengutamakan bahasa Mendriq dalam percakapan harian, sebaliknya selesa berbahasa Melayu loghat Kelantan.

SUKARELAWAN mencatit perkataan dan ayat yang digunakan oleh masyarakat Orang Asli suku kaum Mendriq.
SUKARELAWAN mencatit perkataan dan ayat yang digunakan oleh masyarakat Orang Asli suku kaum Mendriq.

Komuniti mereka juga semakin mengecil, iaitu cuma sekitar 600 orang ketika ini, dan Mendriq yang merupakan subkumpulan Orang Asli Negrito, hanya ditemukan di tiga lokasi di Kelantan, iaitu Kampung Lah di sini dan Kampung Pasir Linggi serta Sungai Tako di Kuala Krai.

Di Semenanjung Malaysia, terdapat tiga kumpulan Orang Asli iaitu Senoi yang mewakili 55.09 peratus, Melayu Proto (41.97 peratus) dan Negrito (2.94 peratus). Di bawah keluarga Senoi ada suku Temiar, Semai, Jah Hut, Che Wong, Semoq Beri dan Mah Beri, sementara Melayu Proto dibentuk oleh etnik Temuan, Jakun, Semelai, Orang Kanaq, Orang Seletar dan Orang Kuala. Kumpulan Negrito pula terdiri daripada Kensiu, Kintaq, Jahai, Mendriq, Lanoh dan Bateq.

Bukan mudah

"Luar jangkaan." Demikian respons Bendahari Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia Mohd Taufik Rosman apabila ditanya tentang semangat masyarakat suku Mendriq terhadap usaha tersebut.

Mengulas tentang cabaran yang dihadapi, beliau mendapati peserta muda boleh berbahasa Mendriq namun tidak lancar selain sudah bercampur dengan bahasa Orang Asli Temiar yang tinggal di kampung berhampiran.

Selain itu, isu ejaan juga turut mengekang proses dokumentasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 6:01 AM