Sarimah ketika sidang media Siri Astro Originals 'Riot!' di Star Max Hall, DADI Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Sarimah ketika sidang media Siri Astro Originals 'Riot!' di Star Max Hall, DADI Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pelakon dan pengacara, Che Puan Sarimah Ibrahim, 45, mengakui dia pernah berdepan gangguan seksual ketika mula-mula terbabit dalam industri hiburan dulu.

Sarimah berkata, dia diganggu seorang lelaki ketika dia terbabit mengacarakan satu program ketika itu.

"Individu terbabit menghampiri saya dengan alasan untuk membaiki mikrofon, tetapi dia sebaliknya memegang bahagian dada saya," katanya.

Sarimah berkata, lelaki terbabit yang juga kru program itu turut mengambil kesempatan memegang tubuhnya ketika membaiki mikrofon sebelum program itu bermula.

"Saya terpaksa senyum seolah-olah tidak terkesan dengan situasi itu. Dia sempat memuji saya cantik ketika itu. Dia juga kata kami akan nampak hebat jika bersama tapi dia sudah berkahwin," katanya.

Sarimah yang juga ibu kepada seorang anak berkata, lelaki turut mengajaknya bercuti bersama sebagai syarat untuk kekal menjadi pengacara musim seterusnya.

Selain berdepan gangguan seksual, Sarimah turut mendedahkan dia pernah diminta untuk mengenakan pakaian seksi di depan seorang pengarah.

"Ada sekali itu, seorang pengarah suruh saya masuk bilik pakaian untuk rancangan itu. Dia suruh saya pakai baju seksi dan sudah siapkan baju-baju untuk saya pamerkan dalam bilik itu.

"Saya tanya kenapa saya kena pamerkan di dalam bilik ini bersama pengarah itu secara seorang diri. Situasi itu sangat aneh.

"Saya tak nak dan enggan menunjukkan bahagian lengan. Selepas itu saya tak dapat tawaran seterusnya tapi ada rezeki lain selepas itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 11:28 AM