MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai sempena bulan Ramadan di Masjid Abidin. FOTO MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
MENTERI Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (kiri) mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai sempena bulan Ramadan di Masjid Abidin. FOTO MOHD SYAFIQ RIDZUAN AMBAK
Aslina Abu Bakar


KERAJAAN negeri Terengganu tidak bercadang melaksanakan hudud dalam masa terdekat sebaliknya ingin memberi tumpuan dalam memperkasakan undang-undang takzir.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, keputusan untuk melaksanakan hudud tidak boleh dilakukan dengan mendadak tetapi perlu dilakukan mengikut keperluan selain mendapat perkenan sultan.

"Kita perlu mengikut undang-undang Parlimen sedia ada termasuk perkembangan Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 yang masih dibentangkan di Dewan Rakyat.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pelaksanaan pindaan undang-undang takzir (Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu pindaan 2016 yang diluluskan ketika sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu baru-baru ini.

"Saya melihat kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri Ghazali Taib adalah pendapat peribadinya dan agak umum," katanya selepas mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di Masjid Abidin Kuala Terengganu hari ini.

Sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai yang di sekitar kawasan Masjid Abidin.

Ghazali semalam mengeluarkan kenyataan kerajaan negeri Terengganu sentiasa memperjuangkan undang-undang hudud dan mahu menjadikan Acheh sebagai model pelaksanaan hukum hudud di Terengganu sewaktu melakukan lawatan kerja ke Pejabat Gabenor Acheh, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2017 @ 6:55 PM