Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Kerajaan sudahpun melaksanakan sebahagian daripada perundangan Islam iaitu hukum takzir atau denda dalam undang-undang negara dan tidak timbul isu kerajaan menolak Islam jika tidak melaksanakan hudud.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha berkata, perundangan sedia ada yang diguna pakai dalam negara ini menggunakan hukum takzir dan ia juga adalah sebahagian daripada hukum Islam.

“Tidak mengikut hukum hudud tidak bermakna menolak Islam kerana negara sudah pun melaksanakan salah satu perundangan Islam iaitu hukum takzir (denda).

“Semua pihak perlu ingat bahawa hukum hudud itu luas. Ia termasuk qisas atau balasan dan takzir iaitu dalam bentuk denda. Perundangan negara sudah mempunyai hukum takzir dan ia juga sebahagian dalam Islam,” katanya selepas merasmikan penutup Persidangan Pegawai Tadbir Daerah Peringkat Kebangsaan 2015, di sini, semalam.

Menurutnya, pandangan yang mengatakan kerajaan atau negara ini tidak Islam kerana tidak melaksanakan hudud adalah tidak tepat. Kita sudah melaksanakan sebahagian hukum Islam

Pada masa sama, menurutnya, JAKIM menyokong langkah kerajaan negeri Kelantan untuk membawa rang undang-undang persendirian Akta 355 bagi memperluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah terhadap pesalah jenayah di negara ini.

“Ia adalah perjuangan JAKIM serta kerajaan sejak dulu dalam usaha memastikan undang-undang syariah dilaksanakan di negara ini.

“Kita tidak mahu orang ramai keliru bahawa rang undang-undang persendirian yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Parlimen kini adalah Akta 355 dan bukan Enakmen Jenayah Syariah Negeri yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2015 @ 5:28 AM