Hafidzul Hilmi Mohd Noor


JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur sedang menunggu kajian daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berhubung cadangan memperkenalkan teksi motosikal e-hailing atau Gojek.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, kemungkinan besar perkhidmatan itu akan beroperasi di ibu kota.

“Bagaimanapun, beberapa aspek perlu dipertimbangkan terutama dari segi peraturan yang ditetapkan iaitu lesen memandu dan cukai jalan.

“Berdasarkan statistik, penunggang motosikal didapati paling ramai tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Setia dan Sambutan Hari Kebangsaan ke-62 di JPJ Wangsa Maju, Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail berkata, penunggang motosikal juga mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi di ibu kota.

“Jika dilihat pada pendaftaran kenderaan, sebanyak 60 peratus nombor pendaftaran baru setiap kali ia dibuka adalah milik motosikal.

HANIF Yusabra Yusuf (kanan) bersama pegawai JPJ memeriksa kenderaan perdagangan dalam Op Rentas Sempadan di Kawasan R&R Seremban-Port Dickson hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
HANIF Yusabra Yusuf (kanan) bersama pegawai JPJ memeriksa kenderaan perdagangan dalam Op Rentas Sempadan di Kawasan R&R Seremban-Port Dickson hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.

“Jadi jumlah motosikal di ibu negara sangat tinggi. Namun JPJ menunggu kajian yang dilakukan MIROS,” katanya.

Terdahulu, pada 17 Ogos lalu, Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilapor mengadakan kaji selidik di media sosial mengenai cadangan memperkenalkan Gojek di Malaysia bertujuan membantu golongan muda membina perniagaan kecil.

Menurutnya, perkhidmatan itu membantu golongan ‘mat motor’ mendapat peluang pekerjaan selain membantu usahawan muda untuk menjual barangan mereka dengan perkhidmatan berkenaan.

Empat hari kemudian, mesyuarat Kabinet secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan KBS untuk melaksanakan Gojek namun KBS dan Kementerian Pengangkutan (MOT) perlu tampil dengan perincian undang-undang secepat mungkin sebelum ia boleh dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 11:51 AM