GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kerajaan wajar menyediakan kursus advokasi berhubung keselamatan jalan raya kepada penunggang p-hailling dan bukannya mewajibkan memiliki lesen memandu vokasional (GDL).

Ini kerana punca kemalangan membabitkan golongan berkenaan perlu dikenal pasti terlebih dulu sebelum dimuktamadkan.

Pengerusi Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan (PPJK) Datuk Mohammad Hisham Shafie berkata, buat masa ini usaha untuk meningkatkan taraf penunggang p-hailing perlu diutamakan.

Katanya, kerajaan perlu mempunyai pangkalan data mengenai isu-isu keselamatan jalan raya membabitkan lebih 10,000 penunggang berkenaan.

"Kita perlu lihat perkara asas terlebih dulu. Pemeriksaan motosikal, pengubahsuaian dan sebagainya adalah perlu dibuat.

"Pemilikan GDL ini adalah kelulusan tambahan sahaja sedangkan risiko kemalangan tetap sama. Menerusi kursus ini, ia memberi pengiktirafan kepada penunggang untuk mendapatkan pemeriksaan percuma di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sebagai contoh," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, kelulusan terhadap Rang Undang-undang (RUU) pindaan terhadap tiga peruntukan undang-undang pengangkutan jalan yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen depan akan menjadikan penunggang p-hailling wajib memiliki lesen memandu vokasional (GDL).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dipetik berkata, melalui pindaan undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334] dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715], had usia penunggang penghantaran makanan itu daripada tidak kurang 21 tahun kepada tidak kurang 18 tahun.

Malah, Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu bersetuju supaya kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Negeri Sarawak untuk turut mengawal selia perkhidmatan kenderaan barangan yang disediakan oleh perniagaan penghantaran terutamanya yang menggunakan motosikal (p-hailing).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Ogos 2022 @ 3:25 PM