EZZANIE Jasny. FOTO Shahril Badri Saali
EZZANIE Jasny. FOTO Shahril Badri Saali
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pempengaruh media sosial yang kini pelakon, Ezzanie Jasny, 26, puas apabila sudah memiliki kereta idamannya, Mercedes-Benz A180 dan bercadang membeli rumah pula selepas ini.

Ezzanie ketika ditemui berkata, dalam usia sekarang, dia mahu mengumpul aset peribadi terlebih dulu serta memberi tumpuan kepada karier seni sebelum memikirkan teman hidup dan berumah tangga.

"Saya bersyukur hasil kerja keras dalam karier akhirnya dapat memiliki kereta idaman. Namun, buat masa sekarang saya akan memberi fokus sepenuhnya kepada kerjaya dulu.

"Ini kerana, saya berhasrat ingin mencapai impian mengumpul aset dan dapat membeli rumah selepas ini. Saya bercadang tahun depan akan dapat memiliki kediaman pula," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ezzanie atau nama sebenarnya, Nur Ezzanie Sherazade Jasny, segala usaha dan kerja-kerasnya yang komited pada kerjaya itu untuk jaminan masa depan sendiri juga dengan mempersiapkan aset peribadi.

"Setakat ini, syukur saya dah dapat apa yang diinginkan seperti kereta itu. Jadi, saya kena kerja dulu dan simpan apa yang patut untuk bekalan saya dan keluarga pada masa depan.

"Insya-Allah, kalau ada rezeki saya memang nak beli rumah. Cuma, sekarang berangan-anganlah dulu sebagai pembakar semangat untuk lebih gigih bekerja. Lagipun bukan untuk orang lain, buat diri sendiri juga," katanya.

Baru-baru ini, Ezzanie menjadi perhatian ramai memerusi watak Saida Amanda lakonannya dalam drama Layang Layang Perkahwinan arahan Eyra Rahman bersama rakan pelakon, Shukri Yahaya yang menjadi gandingannya.

Mengakui dia wanita berdikari, Ezzanie enggan membuang masa pada usia mudanya tanpa mengumpul aset sendiri untuk masa depan dan atas sebab itu penting baginya kuat bekerja.

"Saya adalah wanita aktif dan kena bekerja kerana tak boleh duduk diam. Jadi, selain berlakon saya juga mempunyai perniagaan studio fotografi yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 1:47 PM