Oleh Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: "Bercinta dan saling mengenali selama lebih tiga tahun. Namun kami bercerai selepas dua bulan berkahwin," ujar Julia, 28, yang tidak pernah terfikir bekas suaminya adalah seorang 'pencinta lelaki'.

Menurut wanita itu, sepanjang percintaan mereka, bekas suami kelihatan normal dan tidak menunjukkan sikap aneh.

"Kami sama seperti pasangan bercinta lain, keluar 'dating' bersama dan tampak normal sehinggalah berkahwin.

"Selepas berkahwin, semuanya bertukar 360 darjah, dia suka mengamuk tanpa sebab munasabah. Langsung tidak sentuh atau tidur dengan saya.

"Malah saya sering ternampak dia kerap menghantar mesej kepada rakan pejabat yang sama jenis (lelaki). Naluri isteri ketika itu menyatakan ada sesuatu tidak kena walaupun saya berprasangka baik," katanya.

Menurutnya, dia pernah mengekori suaminya yang memaklumkan mempunyai urusan kerja di luar negeri.

Dia bagaimanapun amat terkejut apabila melihat suaminya keluar bersama rakan pejabat yang juga seorang lelaki.

"Mereka mendaftar masuk ke bilik hotel yang sama dan perlakuan mereka bukan seperti kawan biasa berikutan ada sentuhan mesra.

"Selepas insiden itu, saya mahukan kepastian dan meminta suami berterus terang. Akhirnya dia mengaku sebagai golongan homoseksual sejak di bangku sekolah," katanya.

Menurutnya, perkahwinan mereka hanyalah untuk mengaburi serta memberikan persepsi baik kepada ibu bapanya.

"Saya sayang dia kerana kami bercinta, tetapi saya tiada jalan lain, hanya perceraian menjadi jalan terbaik," katanya.

'Saya cuba goda,dia tepis dan marah - marah

"Orang lain 'kantoikan' suami dengan penyondol wanita. Namun saya jumpa mesej jijik bekas suami bersama boyfriend (kekasih lelaki) dia.

"Patutlah selama setahun kami berkahwin, dia berkelakuan pelik. Apabila saya goda, dia tepis dan marah-marah. Rupanya dia (bekas suami) suka hubungan seks sejenis," luah Hani, 29, yang terjerat berkahwin dengan lelaki homoseksual.

Akibatnya dia terpaksa memfailkan perceraian hujung tahun lalu dan sah bercerai beberapa bulan selepas itu.

Menceritakan lanjut, Hani berkata, perkahwinan dengan bekas suaminya adalah hasil percaturan keluarga dan bekas suaminya mempunyai kerjaya hebat.

"Dia (bekas suami) lima tahun lebih tua daripada saya. Kami tidak akrab. Kami hanya kenal selepas bernikah. Ketika itu saya menyerahkan semuanya kepada keluarga akibat kecewa selepas dua kali gagal bercinta.

"Pada peringkat awal, saya cuma sangka suami adalah seorang yang pemalu.

"Tutur kata dengan saya juga sopan namun selepas tiga bulan berlalu, dia langsung tidak pernah mahu atau cuba menyentuh saya. Setiap kali saya 'pelawa' dia akan bagi alasan penat dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, selepas hampir enam bulan berlalu, dia mengajak bekas suaminya untuk berbincang kerana bimbang suami berdepan masalah kelamin atau 'sakit tuan'.

Katanya, bekas suami mengelak untuk berbincang soal itu namun selepas beberapa kali dipaksa, akhirnya dia akur dan berbincang bersama.

"Ketika perbincangan itu, dia sendiri mengaku tidak ada nafsu dengan saya. Malah dia mengaku 'perasaannya' lebih kepada kaum sejenis.

"Tatkala mendengar pengakuan bekas suami... saya rasa dunia ini runtuh. Namun saya tidak terus memfailkan perceraian kerana ketika itu saya yakin, masih ada cara untuk membetulkan keadaan," katanya.

Hani berkata, selepas mengetahui perkara berkenaan, dia sudah berusaha selama beberapa bulan untuk menyedarkan suaminya namun gagal.

Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk bercerai selepas setahun mendirikan rumah tangga dengan lelaki itu.

Wanita kecewa selepas ketahui bekas suami pencinta lelaki.
Wanita kecewa selepas ketahui bekas suami pencinta lelaki.

'Umpama satu norma baharu yang sangat bahaya'

Sekurang-kurangnya 1 daripada 100 wanita yang berkahwin di negara ini terjerat dengan suami 'pencinta lelaki' atau gay.

Pasangan ini selalunya berkahwin atas dasar pilihan keluarga atau demi menjaga status namun tidak langsung melakukan hubungan kelamin.

Kebanyakan isteri yang berdepan dengan situasi seperti ini kebiasaannya akan mengambil jalan keluar iaitu bercerai berikutan sukar mengubah tabiat luar tabi' si suami.

Lebih mengejutkan, ada dalam kalangan si suami ini yang menunaikan umrah setiap tahun, menjawat jawatan profesional, mempunyai status sosial yang baik dan sebagainya.

Perkara itu didedahkan Pakar Kaunseling Keluarga, Hushim Salleh apabila melihat wujud trend membimbangkan apabila ramai wanita bergelar isteri mendapatkan rujukan serta khidmat kaunseling akibat masalah ini.

"Sepanjang tahun lalu, saya terima lebih 40 kes dan untuk tahun ini sehingga Jun, sudah ada 30 kes dirujuk kepada saya.

"Jangkaan saya, tahun ini pasti lebih ramai wanita bergelar isteri yang terjerat dengan perkahwinan suami gay ini dan terpaksa mengambil jalan keluar dengan penceraian di mahkamah," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Mendedahkan lanjut, Hushim berkata, apabila sesi kaunseling dilaksanakan, perkara paling mengejutkan apabila terdapat dalam kalangan suami homoseksual ini dikalangan golongan berjawatan dan berpendidikan tinggi.

"Apabila sesi kaunseling dilakukan, ia akan dibuat secara berasingan membabitkan suami dan isteri. Di sini, kaunselor mampu melihat di mana titik masalah itu berlaku.

"Memeranjatkan saya apabila ada antara golongan suami bermasalah ini, tidak meninggalkan ibadah dan kerap menunaikan umrah. Namun hubungan luar tabii ini tetap diteruskan, ia umpama satu norma baharu yang sangat bahaya.

"Golongan ini juga kebanyakannya bukan 'biasa-biasa' berikutan ramai dikalangan golongan profesional serta mempunyai status sosial yang sangat baik dalam masyarakat," katanya.

Beliau berkata, tiada perlakuan khusus untuk melihat tabiat seseorang lelaki ini adalah gay atau sebaliknya namun kebanyakan kes yang dirujuk membabitkan personaliti lelaki yang menjaga penampilan.

"Ini berdasarkan kes yang dirujuk kepada saya, kebanyakan si suami pencinta lelaki ini menjaga penampilan seperti mempunyai set penjagaan wajah, memakai minyak wangi mahal, menjaga badan, kemas dan ada juga dalam kalangan mereka membina badan.

"Sukar sebenarnya kita ingin pastikan sesuatu perlakuan itu membuktikan mereka gay tetapi golongan ini tidak berminat melakukan persetubuhan dengan isteri mereka.

"Ada yang tidak pernah menyentuh isteri mereka sejak awal berkahwin. Apabila ditanya, mereka mengaku tidak mempunyai nafsu dan keinginan ke arah itu," katanya.

Beliau berkata, akhirnya si isteri terpaksa mengambil jalan keluar dengan meleraikan perkahwinan di mahkamah.

"Ada juga dalam kalangan isteri yang sayang kepada suami mereka, berusaha untuk ubah mereka. Tetapi saya boleh katakan 90 peratus akan gagal kerana nafsu menyukai lelaki itu sudah sebati dalam diri mereka.

"Sangat sukar untuk mengubah tabiat seks mereka, kebanyakan mereka menyukai lelaki kerana pernah 'dinodai' ketika di asrama sekolah serta kawan-kawan.

"Ada juga kes di mana lelaki ini normal pada peringkat awal sehingga melanjutkan pelajaran di luar negara. Dia mula cuba-cuba hubungan sejenis dan menyukainya sehingga ketagihan," katanya.

Menurutnya, trend ini sangat membimbangkan dan ia perlu dicegah di peringkat awal, malah golongan ini dilihat semakin berani mendedahkan sisi gelap mereka.

Isteri boleh tuntut fasakh kepada suami: PU Syed

Si isteri boleh menuntut fasakh kepada suami yang masih mengamalkan kehidupan songsang walaupun sudah diberi nasihat serta dorongan untuk bertaubat.

Pendakwah bebas, Ustaz Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih popular dengan panggilan 'PU Syed' berkata, golongan isteri boleh menuntut cerai selepas nasihat diberikan kepada pasangannya.

"Tuntutan cerai boleh dibuat. Ia tidak mempunyai masalah dalam syarak malah dibolehkan.

"Bagaimanapun, jika si suami berkenaan sudah bertaubat selepas nasihat diberikan, isteri wajib menjaga keaiban suaminya serta tidak menceritakan kepada orang lain.

"Menjaga keaiban suami dituntut oleh syarak kerana dia (suami) sudah bertaubat daripada perbuatan terkutuk itu," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Beliau berkata, senario ini berlaku akibat kejahilan agama selain mengikut tuntutan nafsu keterlaluan iaitu melakukan hubungan sejenis sedangkan ini perbuatan sangat dilaknat oleh Allah SWT.

Menurutnya, lambakan maklumat di media sosial serta internet mendorong kumpulan homoseksual terjerumus dengan tabiat melampau.

"Saya difahamkan kumpulan ini juga mempunyai 'group' (kumpulan) di aplikasi Telegram. Ini antara dorongan mereka untuk meneruskan gejala songsang mereka," katanya.

Ustaz Syed Mohd Bakri Syed Ishak.
Ustaz Syed Mohd Bakri Syed Ishak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 12:00 PM