KES perceraian membabitkan pelbagai perkara daripada isu kecil hinggalah curang.
KES perceraian membabitkan pelbagai perkara daripada isu kecil hinggalah curang.
Nazarali Saeril


Kuala Lumpur: "Sejak 2018, kira-kira 750 pasangan yang pernah bertemu saya untuk mendapatkan khidmat nasihat akhirnya bercerai," kata Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali.

Untuk rekod, Suzana, 47, sudah 23 tahun terbabit dalam bidang berkenaan dan jumlah pasangan yang bertemunya untuk mendapatkan khidmat kaunseling serta guaman tidak dapat direkodkannya kerana jumlahnya besar.

"Bagaimanapun, berdasarkan rekod aplikasi WhatsApp sejak 2018, yang masih aktif berhubung dengan saya ada kira-kira 3,000.

"Daripada 3,000 itu, 50 peratus (1,500) membabitkan pasangan suami isteri.

"Pada masa sama, daripada 1,500 itu, yang bercerai dianggarkan 750," katanya.

Menurut Suzana, isu perceraian membabitkan pasangan Muslim di Malaysia perlu diberi perhatian pelbagai pihak.

Katanya, kes perceraian juga membabitkan pelbagai perkara daripada isu kecil hinggalah curang.

"Sejak 2015, isu yang sering saya temui ialah kecurangan suami isteri dengan individu lain seperti isteri serta suami orang.

"Kajian pada 2015 juga menunjukkan kira-kira 38 peratus isteri di Malaysia pernah curang, malah ia berterusan hingga kini," katanya.

Menurut Suzana, kajiannya juga menunjukkan, 9/10 isteri curang dengan suami orang dan antara alasan 'popular' ialah suami gagal melaksanakan tanggungjawabnya.

SUZANA.
SUZANA.

Begitu juga sebaliknya yang mana si suami memberi pelbagai alasan untuk curang terhadap isterinya.

"Selain itu, ada juga pasangan yang sudah bercerai akhirnya berkahwin baru, malah ada yang bercerai untuk kali kedua, ketiga dan paling banyak pernah saya tangani ialah bercerai buat kali kesembilan.

"Saya tiada rekod penuh berapa ramai yang bercerai untuk kali kedua dan sebagainya kerana sebahagian besarnya membabitkan kes lama," katanya.

Menurut Suzana, sepanjang Januari hingga September tahun ini, beliau menerima lebih daripada 500 pasangan yang bertemunya untuk mendapatkan pelbagai khidmat.

Daripada jumlah itu, hampir 350 berkaitan perceraian namun hanya kira-kira 100 yang memfailkan permohonan untuk bercerai.

"Alhamdulillah, kasih sayang baki kira-kira 250 pasangan kembali bertaut selepas mereka yakin perkahwinan mereka dapat diselamatkan," katanya.

Pada masa sama, menurut Suzana yang rujuk selepas perkahwinan pertama gagal pula ada kira-kira 50 kes.

"Sebahagian besar aduan diterima daripada lebih 500 pasangan itu ialah suami baru gagal memberi nafkah, menumpang hidup isteri baru yang sebelum ini adalah ibu tunggal selain suami tidak menerima kehadiran anak daripada perkahwinan isteri yang terdahulu," katanya.

Berkaitan majoriti yang bercerai, menurut Suzana, ia lebih kepada golongan biasa berbanding profesional.

Kata beliau, banyak pasangan daripada golongan profesional turut bertemunya namun ia lebih kepada meluahkan rasa.

"Golongan biasa ini terus bercerai tanpa banyak berfikir berbanding profesional.

"Ini kerana, golongan profesional, sanggup menderita asalkan terus berstatus isteri. Bagi golongan profesional dalam kalangan penjawat awam, mereka pula ada yang bimbang dengan maklumat rekod peribadi dalam sistem HRMIS (Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia)," katanya.

Pada masa sama, menurut Suzana, ada kes kendaliannya dilihat sebagai wajar untuk bercerai dan ada yang sebaliknya.

Kerana itu, kata Suzana, jika pasangan datang untuk mengadu, beliau akan memperincikan kes terbabit.

"Jika wajar untuk bercerai, saya akan maklumkan dan jika sebaliknya, saya tidak akan bantu walaupun dirayu.

"Saya tidak akan menurut saja kehendak pasangan berkaitan sebaliknya, mereka ini perlu diberi panduan. Kewajaran menurut syariat lebih utama," katanya.

Suzana turut berpendapat, kes perceraian tidak mustahil akan bertambah jika ibu bapa sendiri gagal mendidik anak-anak selain tidak memberi tauladan yang betul.

"Sesi menambah ilmu dalam kalangan suami isteri juga perlu berterusan.

"Hasil pengalaman saya kendalikan kes ini, masih ramai yang tidak tahu ilmu rumah tangga khususnya hukum agama selain meninggalkan kewajipan sebagai Muslim terutama solat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 6:45 AM