GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Suraya Ali


Kuala Lumpur: Kerajaan perkenalkan inisiatif kaedah lantikan baharu penjawat awam ke arah mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di Malaysia.

Inisiatif itu yang kini sedang dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan juga dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara dalam tempoh jangka masa panjang.

Dalam satu surat pekeliling yang diperoleh BH, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmen negara dalam menangani isu peningkatan tanggungan pencen.

"Kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Julai 2023 telah memutuskan supaya suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenalkan.

"Jemaah menteri juga telah bersetuju supaya dalam tempoh peralihan (interim) sebelum penguatkuasaan kaedah tersebut, pengambilan pegawai awam ke perjawatan tetap akan dilaksanakan secara lantikan kontrak (COS)berkuat kuasa mulai tahun 2024," katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata, kaedah pelaksanaan lantikan kontrak ini adalah mengikut peraturan, pekeliling perkhidmatan dan kaedah semasa yang sedang berkuat kuasa iaitu MyPPSM Ceraian UP.1.1.1 Prosedur dan Dasar Pelantikan Secara Kontrak (Contract of Service).

"Dalam hal ini, lantikan kontrak (COS) yang dimaksudkan adalah lantikan kontrak Objek Sebagai (OS) 11000," katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) selaku Pihak Berkuasa Melantik (PBM) hendaklah mematuhi dan melaksanakan ketetapan ini berdasarkan peraturan, pekeliling perkhidmatan dan kaedah semasa yang sedang berkuat kuasa.

Pelaksanaan pengambilan pegawai baharu secara lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam ini berkuat kuasa mulai 1 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 2:19 PM