ANWAR berucap pada Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor. FOTO Faiz Anuar
ANWAR berucap pada Perasmian Penutup Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor. FOTO Faiz Anuar
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kerajaan akan memuktamadkan sistem persaraan penjawat awam termasuk menaikkan kadar bayaran yang tertangguh sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan tiada alasan untuk menangguhkan perkara itu kerana ketika ini prestasi kumpulan terbabit adalah baik.

"Tugas penjawat awam penting. Kalau inilah prestasi mereka dari peringkat tinggi hingga rendah, maka tidak ada sebab mengapa kita tak boleh kaji sistem saraan tahun ini.

"Walaupun berdepan kekangan kewangan dan masalah ekonomi, kerajaan harus mencari jalan sebab lebih 10 tahun tiada perubahan dari segi kajian semula," katanya ketika berucap pada majlis penutup Karnival Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Media pada 23 Januari lalu melaporkan kerajaan akan melaksanakan pengambilan penjawat awam secara lantikan kontrak sehingga inisiatif kaedah lantikan baharu diperkenalkan bagi mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di negara ini.

Ketika ini, inisiatif kaedah baru itu dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan, juga dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara dalam tempoh jangka masa panjang.

Langkah itu dimaklumkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 5:59 PM