Nurul Hidayah Bahaudin dan Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Lebuhraya Pulau Indah, Klang, Selangor adalah satu daripada tiga lokasi dikenal pasti sebagai jalan yang terjejas teruk akibat menjadi laluan utama kepada kenderaan berat melebihi muatan.

Dua lagi lokasi dikenal pasti turut terjejas teruk akibat masalah yang sama adalah Jalan Permatang Pauh, Pulau Pinang dan Jalan Aring 8-Jeneris, Kelantan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan Jalan Persekutuan yang memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi adalah laluan menuju ke pelabuhan atau dilalui kenderaan membawa muatan sumber asli, contohnya dari kuari dan kawasan pembalakan dengan keseluruhan direkodkan sepanjang 156.06 kilometer (km).

"Setiap jalan raya direka bentuk mengikut jangka hayat tertentu. Bagi jalan berisi padu trafik rendah seperti jalan luar bandar, jangka hayat reka bentuk kebiasaannya mengambil kira sehingga 10 tahun.

"Bagi jalan raya berisi padu trafik sederhana atau tinggi, jangka hayat reka bentuk adalah sehingga 20 tahun," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, jika kenderaan melalui sesuatu jalan dengan membawa muatan melebihi 10 peratus daripada berat dengan muatan (BDM), jangka hayat jalan raya itu dijangka menurun sehingga 50 peratus daripada jangka hayat asal.

"Sekiranya kenderaan itu membawa muatan melebihi 20 peratus daripada BDM dibenarkan, jangka hayat jalan raya akan menurun sehingga 100 peratus daripada jangka hayat asal sekali gus menyebabkan kerosakan berlaku dalam tempoh singkat.

"Ini bermakna jika jalan raya yang direka bentuk dengan jangka hayat 10 tahun dilalui dengan kerap oleh kenderaan bermuatan melebihi 10 peratus daripada BDM, ia hanya akan dapat bertahan untuk lima tahun sahaja.

"Apabila kenderaan membawa muatan melebihi BDM dibenarkan, jalan akan cepat rosak dan kerja-kerja pembaikan perlu dilaksanakan lebih awal dari tempoh sepatutnya," katanya.

Menurutnya, sehingga kini JKR mempunyai kerja pembaikan Jalan Persekutuan tertunggak membabitkan kos berjumlah RM3.2 bilion.

"Ia bagi kerja pembaikan panjang keseluruhan 3,821km dan dianggarkan meningkat kepada RM4.3 bilion dengan mengambil kira kadar harga semasa," katanya.

Menurutnya, kerosakan jalan raya terbahagi kepada dua kategori iaitu kerosakan fungsi dan kerosakan struktur.

"Dari segi kos pembaikan, kerosakan struktur memerlukan kos lebih tinggi berbanding kerosakan fungsi.

"Pertambahan beban gandar melebihi had beban muatan dibenarkan akan mempercepatkan kadar kemerosotan kapasiti struktur secara berlipat ganda.

Apabila situasi itu berlaku, katanya, kapasiti struktur jalan terjejas akan mula mengurangkan jangka hayat reka bentuk kerosakan jalan berlaku dengan lebih awal.

"Jika penyelenggaraan tidak dilaksanakan pada waktu sepatutnya, keadaan struktur pavemen akan merosot dengan lebih teruk menyebabkan kaedah pembaikan menjadi lebih mahal dan menggandakan kos penyelenggaraan secara keseluruhan," katanya.

'Had muatan dibenarkan beroperasi bergantung kepada beberapa faktor'

Kuala Lumpur: Terdapat beberapa faktor membabitkan spesifikasi jalan raya dan kapasiti struktur jambatan yang perlu diteliti bagi membolehkan had muatan kenderaan berat dinaikkan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan bahawa had muatan maksimum kenderaan berat yang ditetapkan dan diwartakan di negara ini bagi Jalan Persekutuan adalah merujuk kepada Perintah Sekatan Berat oleh Menteri Kerja Raya.

"Secara umumnya, had muatan kenderaan yang dibenarkan beroperasi di atas jalan raya bergantung kepada beberapa faktor seperti spesifikasi jalan raya sedia ada iaitu lebar jalan dan reka bentuk.

"Selain itu, kita juga perlu melihat kapasiti struktur jambatan yang ada pada sesebuah laluan yang ada di Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri dalam menentukan had muatan kenderaan berat," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, terdapat lima kelas beban mengikut laluan yang dikenal pasti di seluruh negara dengan kapasiti maksimum muatan adalah antara 36 tan hingga 53 tan.

"Selain itu, had muatan maksimum kenderaan berat yang dibenarkan beroperasi di laluan Persekutuan perlu mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri sebelum diwartakan.

"Ia mengambil kira implikasi-implikasi lain termasuk dari segi penyelarasan serta penguatkuasaaan jalan raya yang berada di bawah agensi dan kementerian lain berkaitan," katanya.

Menurutnya, setiap pembaikan atau penggantian jambatan pula akan membabitkan kos dan perlu dilaksanakan mengikut keperluan pembaikan disenaraikan oleh jabatan.

"Bagaimanapun, pelaksanaan pembaikan jalan raya dan jambatan mahupun penggantian jambatan turut bergantung kepada kelulusan dan peruntukan yang diterima," katanya.

Menurutnya, JKR diberi tanggungjawab sebagai pengurus aset kerajaan untuk Jalan Persekutuan dan jalan negeri.

Katanya, panjang keseluruhan Jalan Persekutuan di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) berjumlah 20,133.152 kilometer (km) sehingga 31 Disember 2022.

"Daripada jumlah ini, sepanjang 2,016.050km jalan dikawal selia oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu lebuh raya bertol dan 18,117.102km pula adalah Jalan Persekutuan yang dikawal selia oleh Ibu Pejabat JKR dan JKR negeri.

"Secara keseluruhannya, sejauh 18,117.102km Jalan Persekutuan diselenggara oleh JKR membabitkan 14,876.767km di Semenanjung dan 3,240.335km di Sabah, Sarawak serta Labuan.

"Bagi jalan negeri yang dikawal selia oleh JKR pula adalah sepanjang 53,962.923km," katanya.

Bagi setiap pusingan proses pengurusan aset kerajaan, JKR berkata, perbelanjaan termasuk kerja penyenggaraan jalan raya adalah berdasarkan kepada peruntukan diterima melalui agensi Pusat.

"Kos penyenggaraan Jalan Persekutuan dibayar oleh kerajaan kepada pihak konsesi, manakala jalan negeri menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris)," katanya.

KEADAAN jalan yang berlubang dan berlopak. FOTO Sadiq Sani
KEADAAN jalan yang berlubang dan berlopak. FOTO Sadiq Sani

Jalan Perigi Nenas macam kena bom!

Keadaan jalan berlubang yang teruk menyebabkan laluan di Jalan Perigi Nenas, Pulau Indah di sini, tidak kelihatan seperti jalan raya.

Tinjauan wartawan Harian Metro bersama jurugambar dan juruvideo di jalan berkenaan mendapati ia dipenuhi dengan lopak air kerana laluannya yang berlubang.

Malah, ada laluan di jalan berkenaan jelas kelihatan lapisan tanah tanpa dilitupi dengan tar pada jalan berkenaan disebabkan lubang yang besar.

Treler serta lori dari atau ke kawasan perindustrian di situ juga dilihat sukar untuk melalui jalan berkenaan yang terdapat banyak lubang.

Kira-kira hampir satu kilometer (km) jarak di laluan berkenaan yang didapati berlubang yang menyukarkan kenderaan untuk melalui jalan terbabit.

Tinjauan di sekitar Pelabuhan Klang pula mendapati jalan berlubang dikesan pada jarak 5km sebelum pintu masuk Pelabuhan Barat.

Ada juga laluan di jalan berkenaan dilihat baru sahaja ditampal dengan tar, tetapi masih terdapat lubang dipercayai akibat laluan berkenaan kerap dilalui kenderaan berat.

Selain treler dan lori kontena, terdapat juga kenderaan lain yang melalui laluan itu dilihat berdepan kesukaran bagi mengelak lubang besar.

Wartawan juga berkesempatan membuat tinjauan di Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Suleiman di sini, dan mendapati terdapat lubang besar di Jalan Lebuh Sultan Mohamed 2 yang menyebabkan pengguna jalan raya berhadapan masalah untuk melaluinya.

KEADAAN  jalan yang terjejas teruk akibat menjadi laluan utama kepada kenderaan berat melebihi muatan.
KEADAAN jalan yang terjejas teruk akibat menjadi laluan utama kepada kenderaan berat melebihi muatan.

JPJ bertindak sita 44 kenderaan berat

Sebanyak 44 sitaan dibuat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap kenderaan berat yang membawa lebih had muatan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober tahun lalu.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Lokman Jamaan berkata, kesemua kenderaan berat yang disita itu didapati membawa antara 70 hingga hampir 140 peratus muatan melebihi had dibenarkan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 17 kenderaan yang disita direkodkan di Selangor, diikuti Pahang dengan 11 kenderaan, manakala Negeri Sembilan dan Kelantan masing-masing tujuh kenderaan serta dua kenderaan di Perak.

"Tindakan sitaan diambil terhadap 44 kenderaan berkenaan adalah mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010," katanya kepada Harian Metro.

Lokman berkata, antara alasan sering diberikan pemandu lori yang membawa lebih had muatan adalah kadar upah rendah serta memenuhi kehendak dan arahan pemilik.

"Alasan diberikan mereka ini menunjukkan tahap kesedaran rendah mereka terhadap keselamatan di jalan raya.

"Selain kesalahan lebih had muatan, kenderaan mereka boleh juga disita apabila melakukan kesalahan lain seperti tiada perlindungan insurans, kenderaan tidak berdaftar dan pemandu warga asing tidak memiliki lesen memandu," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan JPJ menyita lori yang dianggap sebagai perbuatan melampau oleh sesetengah pihak, beliau berkata, pihaknya tidak mahu berkompromi dengan kesalahan mendorong berlakunya kemalangan maut iaitu mendatangkan risiko kepada nyawa pengguna jalan raya lain.

"Tindakan sita yang kita ambil adalah berlandaskan lunas undang-undang iaitu mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 80 Agensi APAD 2010.

"Tindakan penguatkuasaan ini diambil terhadap syarikat dan pemandu lori yang membawa muatan melebihi 71 peratus daripada had ditetapkan serta melakukan kesalahan sama berulang kali dan mempunyai rekod saman yang tinggi," katanya.

Beliau berkata, JPJ sentiasa mengutamakan kelestarian ekosistem jalan raya dengan memastikannya selamat untuk semua pengguna.

'Tolong kaji semula had berat dengan muatan'

"Isi minyak pun kadang-kadang tidak lepas, macam mana mahu cari makan," keluh Presiden Persatuan Pengusaha Lori Tipper Malaysia Datuk Michael Loo Leep Chye.

Menurutnya, industri pengangkutan itu terutama membabitkan jentera berat membawa muatan batu batan merupakan satu industri penting yang memberi kesan langsung kepada sektor pembinaan.

Menurutnya, had berat dengan muatan (BDM) yang ditetapkan agensi penguat kuasa ketika ini perlu dikaji semula seiring dengan kemajuan teknologi dan kemampuan lori moden yang mampu membawa muatan lebih banyak.

"Kami bukan mahu pertikai undang-undang, tidak...cuma kami mohon pihak berkaitan kaji semula BDM ini kerana dalam keadaan ekonomi semasa terutama kenaikan kos minyak dan penyelenggaraan kami tidak mampu bertahan.

"Jika had muatan tidak dinaikkan mungkin kami terpaksa menaikkan caj penghantaran sehingga dua kali ganda bagi menampung kos operasi.

"Caj semasa lebih kurang RM10 setiap tan untuk jarak 20 kilometer dan satu lori boleh bawa dalam 10 tan, sehari boleh dapat dua trip pergi dan balik dapatlah RM200, ini isi minyak pun kadang-kadang tidak cukup, boleh cari makan ke?" katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, rata-rata ahlinya yang merupakan Bumiputera tidak mampu menampung kos sara hidup dengan kadar begitu dan ditambah dengan keadaan ekonomi semasa yang kian meruncing.

Michael berkata, keadaan itu bertambah parah apabila pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semakin kerap mengambil tindakan sita terhadap lori yang membawa keadaan berat sejak kebelakangan ini.

Katanya, dia memahami tugas JPJ dan menyokong tindakan sita terhadap segelintir pemandu tamak yang membawa muatan berlebihan sehingga membahayakan nyawa orang ramai namun tindakan itu dilihat tidak dapat menyelesaikan isu sebenar.

"Bila berlaku kemalangan membabitkan lori mula buat operasi besar-besaran, saman, sita dan sebagainya, adakah tindakan ini boleh selesaikan masalah?," katanya.

Menurutnya, lebih 60 peratus daripada 1,500 ahli persatuan itu merupakan pengusaha kecil-kecilan yang memiliki sebuah lori dan apabila disita akan menutup terus mata pencarian mereka.

Beliau yang sudah lebih tiga dekad berkecimpung dalam industri itu berkata, pihaknya sudah memperjuangkan isu had muatan sejak sekian lama namun masih tidak menemui jalan keluar.

"Sudah bertahun-tahun kita perjuangkan isu ini, kita sudah hantar surat kepada kementerian berkenaan, kita adakan perjumpaan dengan JPJ dan agensi berkaitan tetapi tiada penyelesaian.

"Sampai bila kami harus tanggung masalah ini, bila kita minta naikkan had mereka beri alasan jalan rosaklah, tak mampu tampung dan sebagainya, jadi jalan terakhir kami kena naikkan harga.

"Batu batan ini penting dalam sektor pembinaan, jadi jika kos penghantaran naik akhirnya yang siapa tanggung? Rakyat sebagai pengguna akhir juga yang perlu tampung kenaikan itu," katanya.

Menurutnya, pihaknya faham tugas agensi penguat kuasa kerana mereka hanya jalankan tugas, justeru Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) khususnya dan kerajaan amnya perlu memainkan peranan sebagai penggubal undang-undang untuk mendalami isu ini.

Mengulas mengenai isu jalan rosak disebabkan jentera berat, Michael beranggapan masalah itu tidak akan terjadi jika jalan raya di Malaysia dibina dengan baik.

Harga hartanah boleh meningkat

Kenaikan harga seperti rumah, kedai atau pejabat tidak dapat dielakkan sekiranya caj penghantaran batu batan dari kuari ke tapak pembinaan dinaikkan.

Difahamkan, ketika ini pengusaha lori mengenakan caj antara RM10 ke RM11 bagi setiap tan dan sebuah lori boleh mengangkut muatan sekitar 10 tan berdasarkan berat dengan muatan (BDM) semasa.

Presiden Persatuan Kuari Malaysia (MQA) Datuk Seri Toh Keng Tiong berkata, secara kasar kos operasi sesebuah kuari dianggarkan meningkat sehingga 40 peratus berikutan masalah ekonomi global dan peperangan di beberapa negara.

Menurutnya, jika caj pengangkutan dinaikkan pengusaha kuari juga tiada pilihan lain selain mengambil pendekatan sama bagi menampung kos operasi yang melambung tinggi ketika ini.

"Malaysia ini tanah bertuah kerana mempunyai banyak granit (bahan utama pembinaan) tetapi semua penghantaran perlu gunakan jalan raya, tiada kaedah lain setakat ini.

"Di China contohnya, mereka menjimatkan kos dengan menggunakan sungai untuk penghantaran dari kuari ke tapak pembinaan tetapi di Malaysia mungkin agak sukar dilaksanakan.

"Harga granit semasa granit antara RM20 ke RM30 setiap tan tetapi itu tidak termasuk kos penghantaran," katanya kepada Harian Metro.

Michael berkata, industri logistik terutama membabitkan jentera berat membawa muatan batu batan merupakan satu industri penting yang boleh memberi kesan langsung kepada sektor pembinaan dan pembangunan negara secara tidak langsung.

Katanya, BDM yang ditetapkan ketika ini perlu dikaji semula seiring dengan kemajuan teknologi dan kemampuan lori moden yang mampu membawa muatan lebih banyak.

Mengulas lanjut, Keng Tiong berkata, pihaknya juga sering menjadi mangsa persepsi negatif masyarakat sama seperti pengusaha kenderaan berat.

Menurutnya, masyarakat perlu menerima hakikat bahawa pembangunan itu datang seiring dengan industri kuari dan pemandu lori kerana tanpa mereka tiada infrastruktur atau penempatan dapat dibina.

"Harga mahu murah tetapi tidak mahu kuari berdekatan dengan rumah, susahlah macam ini, boleh bina kuari jauh tetapi siapa mahu bayar (kenaikan harga)?"

"Di negara seperti Hong Kong mereka boleh bina kuari di tengah bandar dan beroperasi secara mesra alam, apabila ia tidak lagi mengeluarkan hasil kawasan itu dibangunkan sebagai perumahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 12:00 PM