Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Pengusaha-pengusaha Kecil Kenderaan Perdagangan Wilayah Utara merayu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya mempertimbangkan tujuh tuntutan yang dikemukakan bagi mengurangkan beban ditanggung golongan itu.

Wakil pengusaha, Muhammad Daniel Abdullah berkata, pihaknya mengemukakan tuntutan itu kerana pemandu lori kini umpama tersepit untuk keluar mencari rezeki memandangkan kerap ditahan JPJ pada operasi penguatkuasaan membawa muatan berlebihan.

Katanya, pemandu terpaksa membawa muatan lebih berikutan syarikat tidak mahu menaikkan kadar sewa, tetapi ia masih tidak melepasi had pagar.

Namun, pemandu dikenakan tindakan sehingga berkali-kali menyebabkan pengusaha terbeban.

"Sebelum ini, ada operasi sebegini. Namun, sejak akhir-akhir ini, JPJ ambil tindakan lebih drastik malah ada lori yang disita, potong mata dimerit dan ada lesen kena gantung.

"Kami sudah tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan kerana itu, kami menghantar tujuh tuntutan supaya JPJ dapat melihat semula tindakan sedemikian," katanya selepas menghantar memorandum berhubung tuntutan berkenaan di luar perkarangan JPJ Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Memorandum itu diserahkan kepada kepada Timbalan Pengarah JPJ negeri, Shahrul Azhar Mat Dali disaksikan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San.

Kira-kira 1,000 pemandu lori di seluruh Pulau Pinang dan Kedah hadir bagi membuat bantahan secara aman serta merayu tuntutan mereka dipertimbangkan.

Muhammad Daniel berkata, antara tuntutan yang dikemukakan adalah, JPJ negeri mempertimbangkan supaya lori-lori yang membawa muatan sama paras dengan pagar kenderaan itu diberi pelepasan di bawah peraturan membawa barangan melebihi had muatan yang ditetapkan.

Selain itu, katanya, mereka juga mencadangkan kepada JPJ untuk menaikkan nilai Berat Dengan Muatan atau BDM bagi sesebuah lori kerana lori yang baharu dikeluarkan kebiasaannya adalah lebih canggih dan mampu menanggung bebanan yang tinggi.

"Kami turut mencadangkan supaya saman juga dikenakan terhadap pihak lombong, kuari dan kilang jika lori ditahan melebihi had (muatan) kerana mereka membenarkan lori itu keluar daripada premis mereka dengan muatan yang berlebihan.

"Kerajaan juga perlu memainkan peranan untuk menaikkan kadar sewa kenderaan perdagangan kerana kadar sewa dalam industri ketika ini sangat murah, sedangkan kos alat ganti kenderaan dan kos sara hidup semakin meningkat," katanya.

Mengulas lanjut, Muhamad Daniel berkata, pihaknya turut memohon supaya sistem saman dimerit kepada pemandu dihapuskan kerana sistem berkenaan amat tidak adil kepada pemandu kenderaan perdagangan.

"Rata-rata pemandu lori dan pengusaha kenderaan berat di wilayah utara ini hanya memiliki satu atau dua kenderaan perdagangan sahaja dan tindakan yang terlalu keras menjejaskan sumber pendapatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 3:36 PM
Wakil Pengusaha-pengusaha Kecil Kenderaan Perdagangan Wilayah Utara, Muhammad Daniel Abdullah (kanan) dan David Marshel (dua dari kanan) menyerahkan memorandum kepada Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Shahrul Azhar Mat Dali (dua dari kiri) di hadapan bangunan JPJ Pulau Pinang, Seberang Jaya di sini. FOTO DANIAL SAAD
Wakil Pengusaha-pengusaha Kecil Kenderaan Perdagangan Wilayah Utara, Muhammad Daniel Abdullah (kanan) dan David Marshel (dua dari kanan) menyerahkan memorandum kepada Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Shahrul Azhar Mat Dali (dua dari kiri) di hadapan bangunan JPJ Pulau Pinang, Seberang Jaya di sini. FOTO DANIAL SAAD