FAUZI Nawawi.
FAUZI Nawawi.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menuntut pihak produksi yang menayangkan program bual bicara Rumah No 107 sehingga mencetuskan kontroversi membabitkan isu rogol agar turut bertanggungjawab. Presidennya, Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil berkata, kesalahan tidak sepatutnya diletakkan sepenuhnya pada pelakon Fauzi Nawawi.

Namun, Zed berkata, pihak Seniman turut tidak bersetuju atas apa yang berlaku sehingga menconteng arang terhadap dunia seni tanah air.

"Ada garis panduan yang perlu dipatuhi sebelum menerbitkan sesebuah rancangan bual bicara. Kalau pihak produksi sendiri tidak cakna mengenai perkara ini (garis panduan), lesen penerbitan mereka patut ditarik semula atau disekat.

"Mereka patut sedar, matlamat tidak menghalalkan cara. Sensitiviti dan aib semua orang harus dilindungi. Ya benar, Fauzi salah kerana keterlanjuran katanya, namun bukan dia seorang saja yang salah tetapi semua yang terbabit.

"Saya percaya sebelum memulakan rakaman, produksi sudah diterangkan soal etika dan 'pantang larang' yang perlu dipatuhi. Program itu bukan program siaran langsung (live). Kalau nak hukum, hukum pihak produksi sekali kerana merekalah kepalanya," katanya.

Dalam masa sama, Zed berkata, Seniman bersedia untuk menyediakan platform buat Raja Farah bagi memberi penjelasan.

"Seniman boleh buat sesi siaran langsung dengan Raja Farah namun saya difahamkan, dia sendiri sudah tidak mahu memanjangkan isu ini. Saya sendiri sudah mendengar kenyataan suaminya dan saya sangat menghormati keterbukaannya mengenai apa yang berlaku.

"Fauzi juga sudah mohon maaf dan saya fikir, isu ini sudah selesai. Apa yang berlaku sepatutnya memberi pengajaran kepada semua orang agar isu ini tidak lagi berulang pada masa hadapan. Cadangan saya, kementerian yang berkenaan iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPKWM) atau agensi-agensi di bawahnya mungkin boleh melakukan sesuatu. Mungkin boleh jemput Raja Farah untuk berkata sesuatu dalam mana-mana sesi mereka?" katanya.

Terdahulu, Seniman dikritik hebat netizen dalam ruangan media sosial terutama Twitter apabila dikatakan hanya memberi platform kepada golongan lelaki untuk memberi penjelasan berkenaan isu gurauan rogol. Semalam, Zed dan Fauzi bersiaran langsung menerusi TikTok bagi memberi penjelasan berkenaan kontroversi yang melanda pelakon filem Munafik itu disebabkan keterlanjuran gurauannya dalam sebuah program bual bicara itu.

Dalam pada itu, saluran Astro Warna yang menerbitkan program Rumah No 107 sudah memohon maaf atas keterlanjuran mengenai perkara itu.

"Kami selaku penerbit program Rumah No 107 menegaskan bahawa kami memandang serius akan perkara itu. Kami sentiasa berpegang kepada prinsip untuk tidak berkompromi dengan hal-hal berkaitan gangguan seksual dan diskriminasi ke atas wanita, sama ada dari segi perbuatan mahupun tutur kata (secara lisan).

"Kami memohon maaf di atas sebarang keterlanjuran yang menyinggung hati mana-mana pihak. Kami akan sentiasa untuk lebih peka serta berhati-hati dalam setiap aspek pengisian kandungan program terbitan kami di masa depan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 6:27 PM