YEW SIN (kanan) dan Ee Yi gagal ke pentas final. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
YEW SIN (kanan) dan Ee Yi gagal ke pentas final. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persembahan meyakinkan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di set pertama tidak mampu bertahan apabila mereka kalah di separuh akhir Masters Jepun sebentar tadi.

Yew Sin-Ee Yi yang diletakkan selaku pilihan kelapan terpaksa akur dengan kebangkitan lawan mereka dari China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi selepas tumpas 21-16, 20-22, 17-21 sekali gus memadamkan hasrat mara ke final pertama tahun ini.

Ini adalah kekalahan buat kali ketiga Yew Sin-Ee Yi kepada pilihan ketujuh kejohanan itu selepas empat pertemuan dan kemenangan terakhir dicatatkan pada pusingan kedua Terbuka Denmark tahun lalu.

Yew Sin-Ee Yi yang sekarang ini menghuni ranking ke-12 dunia tersekat buat kali ketiga di pentas separuh akhir dan dua lagi ketika di Terbuka Switzerland serta Terbuka Taiwan.

Mereka akan menyambung aksi di Asia Timur apabila menyertai Masters China minggu depan dan dijadualkan menentang rakan senegara di pusingan pertama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Ia bakal menjadikan pertemuan kelapan kedua-dua pasangan dengan kelebihan memihak kepada Aaron-Wooi Yik dengan rekod 5-2.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2023 @ 7:07 PM