YEW SIN (kanan) dan Ee Yi mara ke suku akhir Masters Jepun. FOTO AP
YEW SIN (kanan) dan Ee Yi mara ke suku akhir Masters Jepun. FOTO AP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas dua kejohanan berturut-turut terkandas di pusingan awal, beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi akhirnya berjaya mengentuk pintu suku akhir dengan memenangi pusingan kedua Masters Jepun sebentar tadi.

Bagaimanapun, pasangan nombor 12 dunia itu terpaksa berhempas-pulas selepas diberi tentangan sengit wakil Thailand, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa Nga.

Yew Sin-Ee Yi yang diletakkan sebagai pilihan kelapan dikejutkan di set pertama sebelum mereka bangkit memberikan persembahan sebenar untuk mencatat kemenangan 14-21, 21-15, 21-15.

Menanti mereka di suku akhir esok ialah gandingan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen yang sebelum itu menumpaskan rakan senegara, Lu Ching Yao-Yang Po Han 12-21, 21-11, 21-14.

Aksi antara Yew Sin-Ee Yi bakal mengulangi pertemuan sulung kedua-dua pasangan Jun lalu di suku akhir Terbuka Taiwan yang menyaksikan gandingan profesional negara itu mencatatkan kemenangan 15-21, 21-19, 21-17.

Sementara itu langkah beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tersekat apabila mereka yang diletakkan sebagai pilihan keempat kalah kepada wakil tuan rumah, Akira Koga-Taichi Saito 18-21, 16-21.

Aaron Chia-Wooi Yik akan meneruskan aksi di Asia Timur dengan turun di pusingan pertama Masters China minggu depan dan dijadualkan bertemu Yew Sin-Ee Yi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 6:03 PM