AARON (kanan) dan Wooi Yik tidak dapat meneruskan kemaraan. FOTO Badminton Photo
AARON (kanan) dan Wooi Yik tidak dapat meneruskan kemaraan. FOTO Badminton Photo
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Semuanya seakan tidak menjadi buat beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di set kedua suku akhir Terbuka Jepun sehingga menyaksikan mereka ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan tuan rumah, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Menjadi wakil tunggal negara dalam aksi yang berlangsung di Gimnasium Nasional Yoyogi, Tokyo hari ini, Aaron mengakui bahawa set kedua ternyata membunuh harapan mereka untuk melangkah ke separuh akhir.

"Perlawanan hari ini terutama di set kedua adalah sangat penting. Memang kita bermain dengan baik sebelum 'interval' namun selepas itu kami sedikit gopoh kerana terlalu hendak menang.

"Ketika itu juga kami lebih terikut dengan corak permainan mereka," kata Aaron selepas tumpas 21-10, 15-21, 16-21 sebentar tadi.

Sementara itu, Wooi Yik mengakui bahawa kunci utama untuk mereka melangkah lebih jauh adalah mengekalkan prestasi dari awal.

"Sebab kita sudah bermula dengan baik, namun kita tidak dapat mengekalkan perkara itu, sehinga fokus semua hilang. Bagi kejohanan seterusnya kami harus memperbaiki lagi perkara ini," kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu.

Kekalahan dalam aksi yang berlangsung sejam lebih itu di menyaksikan rekod Aaron-Wooi Yik ke atas pasangan nombor lima dunia itu terus merosot kepada 2-6.

Tahun lalu pasangan keempat dunia itu menarik diri daripada menyertai kejohanan berkenaan kerana Aaron mengalami kecederaan selepas mereka merangkul gelaran dunia.

Aaron-Wooi Yik selepas ini akan meneruskan aksi di Terbuka Australia yang berlangsung dari 1 hingga 6 Ogos depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 4:07 PM