Oleh Redzuan Muharam


Nama adalah pemberian ibu bapa buat zuriat mereka namun ada yang tidak serasi dengannya hingga perlu ditukar.

Ada juga individu terpaksa menukar nama kerana tidak tahan akibat menjadi mangsa sihir.

Ikuti pengalaman mereka yang menukar nama anak dan kisah wanita menukar nama akibat disihir.

Tetapi, ada yang menganggap nama unik yang diberikan oleh ibu bapa kepada mereka harus dikekalkan dan tidak perlu ditukar.

Kisah Uqasha

Akibat tidak tahan kerana pernah menjadi mangsa sihir, wanita dikenali Uqasha terpaksa ambil keputusan untuk menukar nama asalnya, lima tahun lalu.

Uqasha, 35, berkata dia tidak tahu apa yang berlaku ke atas dirinya itu berpunca daripada perbuatan individu menghantar santau.

Bagaimanapun, pertemuan dengan seorang pengamal perubatan Islam memberi petunjuk kepada perkara sebenar.

"Selepas tamat pengajian di universiti, saya pernah bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat sebelum berhenti bagi menjalankan perniagaan kecil-kecilan saja dengan membuka gerai menjual sarapan pagi di tepi jalan.

"Alhamdulillah, sambutan amat baik namun beberapa bulan selepas berniaga, saya kerap jatuh sakit dan pernah muntah darah hingga keluar rambut.

"Disebabkan itu, keluarga nasihatkan saya saya pergi berubat dan apabila ke hospital, doktor tak dapat kesan apa punca sebenar," katanya kepada Harian Metro.

Enggan berputus asa, Uqasha berikhtiar mencari penawar termasuk secara perubatan alternatif dengan mendapatkan khidmat pengamal perubatan Islam serta tradisional.

Katanya, banyak juga wang dibelanjakan sebagai pengeras kerana mahu sihat semula, malah tidak berjaya sehingga dia bertemu seorang pengamal perubatan Islam di utara tanah air.

"Pengamal perubatan itu tak beritahu siapa orangnya namun dia cuba rawat dan syorkan saya tukar nama sebagai salah satu jalan untuk elak terus disihir.

"Disebabkan sudah tak tahan, saya pun dengar kata perawat berkenaan dan ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk buat permohonan tukar nama.

"Kalau boleh saya tak mahu tukar kerana nama asal adalah pemberian emak dan ayah namun terpaksa. Maka saya mohon dengan beri alasan ada keperluan kerana soal kesihatan," katanya.

Uqasha berkata, urusannya dipermudahkan apabila permohonan diluluskan namun dia tidak terlalu mengharap perubahan berlaku kerana sekadar mencuba.

"Alhamdulillah, memang nampak kesannya apabila kesihatan saya bertambah baik dan boleh kembali berniaga.

"Saya tak kata 100 peratus kerana pertukaran nama tapi boleh jadi namun semuanya dengan izin Allah juga.

"Cuma apa yang berlaku buat saya trauma untuk beritahu orang luar tidak dikenali nama sebenar kerana takut kejadian sama berulang.

"Kalau tak berlaku kepada diri sendiri susah juga nak percaya namun kini saya yakin impak nama itu sangat besar dalam diri kita," katanya.

'Kami tukar selepas anak asyik sakit'

NURFARADILA bersama anak keduanya, Nurul Zahra.
NURFARADILA bersama anak keduanya, Nurul Zahra.

"Berat untuk saya dan suami tukar nama anak namun terpaksa lakukannya demi kebaikan dia," kata ibu tiga anak, Nurfaradila Zahari.

Nurfaradila, 37, dan suami, Mustafa Abdul Rahman, 44, sepakat menamakan anak kedua mereka Izzara Hajar Hasanah yang dilahirkan pada 2016.

Bagaimanapun, Nurfaradila yang bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital berkata, nama itu seakan tidak serasi dengan anaknya kerana kerap jatuh sakit.

Selepas berbincang dengan suami, Nurfaradila sepakat menukar nama anaknya menjadi lebih pendek iaitu Nurul Zahra.

"Anak kedua kami lahir pramatang iaitu ketika kandungan berusia tujuh bulan. Disebabkan itu, anak saya ditahan di hospital selama empat bulan.

"Sejak bayi dia kerap sakit seperti batuk yang menyebabkannya sering dimasukkan ke hospital, malah saya pernah berhenti kerja sebagai jururawat untuk jaga anak sepenuh masa.

"Keadaan itu berlarutan sehingga umurnya dua tahun sebelum hingga emak saya cadangkan supaya bawa anak berubat dengan perawatan Islam dan waktu itulah, ustazah kami temui syorkan tukar nama kerana katanya, nama sedia ada 'berat' serta mungkin tak serasi dengannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Memikirkan saranan itu, Nurfaradila dan suaminya cuba mencari maklumat mengenai prosedur permohonan pindaan nama dalam sijil kelahiran kerana tiada pengalaman berbuat demikian.

Pada masa sama, Nurfaradila dan suami turut berbincang dalam mencari nama baru yang sesuai buat anak mereka.

"Hasil perbincangan, kami sepakat ambil nama dicadangkan ustazah iaitu Nurul Zahra yang sudah tentu baik maknanya dan lebih pendek berbanding nama asal.

"Proses permohonan pindaan tukar nama anak ambil masa juga, seingat saya dalam lebih sebulan kerana kami perlu sediakan dokumen dikehendaki Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), nyatakan alasan tukar nama dan angkat sumpah tapi lega apabila semuanya selesai.

"Keluarga termasuk mentua tak ada halangan dengan apa yang kami lakukan cuma hanya segelintir individu terdekat tak sokong.

"Apa pun, saya bersyukur kerana sejak tukar nama, keadaan anak bertambah baik dengan izin Allah dan jika demam pun cepat sembuh seperti dia serasi dengan namanya," katanya.

Nurfaradila berkata, dia ada berkongsi pengalamannya itu menerusi hantaran di Facebook dan mendapat banyak kiriman mesej daripada ibu bapa lain.

"Saya memang aktif di Facebook dan selepas muat naik hantaran itu, saya terima banyak mesej daripada mereka yang bertanya mengenai prosedur membuat pindaan nama kerana tidak tahu caranya.

"Mungkin ramai ada masalah sama dan nasihat saya, bincang dan mendapat persetujuan dengan pasangan terlebih dulu," katanya.

'Nama saya John Marlboro'

JOHN menunjukkan kad pengenalan miliknya.
JOHN menunjukkan kad pengenalan miliknya.

"Saya tak terfikir nak tukar nama kerana bangga ada nama yang unik," kata perancang pengeluaran, John Marlboro, 35.

Katanya, namanya yang sama dengan jenama rokok terkenal di dunia itu adalah sesuatu yang unik malah empat adik beradiknya turut memilik nama yang unik.

Menurutnya, mendiang bapanya yang memberi nama berkenaan kerana mahukan kelainan.

"Menurut ayah, dia mahu beri nama unik yang orang lain tak pernah guna.

"Kalau ikutkan ayah nak letak nama pelik ketika dapat anak pertama lagi. Cuma, keluarga tak sokong waktu itu, jadi dia mulakan dengan anak kedua iaitu mendiang abang yang diberi nama John Camel.

"Anak ketiga, ayah namakan John Kawasaki, saya anak keempat dengan nama John Marlboro, keenam, John Safari dan ketujuh, John Vitara.

"Kiranya semua anak lelaki kecuali abang sulung diberi nama unik," katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya dekat Bandar Saujana Putra, Kuala Langat.

Manakala adik beradik perempuan diberi nama R Mahaletchumi, 24, R Gajaletchumi, 29, R Dhya Pria, 34, dan R Ramsar, 39.

Menurut John, sejak di bangku sekolah hingga kini, dia tidak pernah diejek rakan atau sesiapa namun ramai yang mempersoalkan kesahihan namanya.

"Reaksi biasa saya terima adalah orang akan terkejut apabila saya perkenalkan diri dengan nama dan tanya betul ke nama macam itu.

"Ada juga yang menyangka saya guna nama samaran sampai saya kena tunjuk kad pengenalan kepada mereka sebagai bukti.

"Tapi setakat ini memang tak ada yang mengejek malah saya pun tak terfikir nak tukar nama. Bab nama anak pula, buat masa ini saya tak terfikir untuk beri nama pelik atau unik," katanya.

Sementara itu, isterinya, M Sharmilla, 33, berkata, dia berkenalan dengan suaminya di tempat kerja sejak 2015 sebelum berkahwin pada 9 Jun tahun lalu.

"Pertama kali masuk kerja, suami perkenalkan namanya dan mulanya macam tak percaya.

"Banyak kali saya tanya kerana tak pernah dengar nama India begitu sampai dia tunjuk kad pengenalannya.

"Masa perkenalkan dengan keluarga, semua (ahli keluarga) tanya soalan sama, begitu juga ketika kami mahu kahwin.

Bagi saya, itulah keistimewaannya cuma saya tak terfikir nak beri nama yang pelik kepada anak kami," katanya.

Islam benarkan umat tukar nama jika diperlukan

Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff
Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff

Hukum menukar nama adalah dibenarkan dalam Islam jika ia diperlukan.

Pensyarah Fiqh Fatwa Kontemporari Pusat Kajian Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berkata, Rasulullah SAW juga membenarkan sahabat menukar nama mereka.

"Rasulullah mengesyorkannya sahabat menukar nama selepas memeluk Islam begitu juga dengan nama sebelum Islam yang tidak sesuai selepas Islam.

"Hal ini sama sekiranya didapati nama anak tidak sesuai atau serasi dengan empunya badan, maka ibu bapa boleh menukar nama kepada nama yang lebih sesuai," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohd Izhar, nama yang baik amat penting kerana ia adalah gelaran untuk seseorang individu.

"Rasulullah SAW bersabda, 'Namakan anak-anak mu dengan nama yang baik kerana mereka akan dipanggil dengan nama tersebut'.

"Maka ia jelas menunjukkan bukan satu kesalahan menukar nama anak untuk kebaikan. Orang dewasa juga boleh menukar nama pemberian ibu dan ayah jika ada keperluan.

"Itu bukan bermakna mereka tidak menghargai nama asal pemberian ibu bapa tetapi mungkin keadaan tertentu yang memaksa antaranya diejek kerana nama atau disihir," katanya.

Pemohon perlu kemuka empat dokumen wajib: JPN

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membenarkan permohonan pertukaran atau pindaan nama dalam kad pengenalan.

Bagaimanapun, pemohon perlu mengemukakan empat dokumen wajib mengikut syarat ditetapkan untuk penilaian panel yang meluluskan permohonan.

Empat dokumen berkenaan adalah kad pengenalan, sijil kelahiran, akuan bersumpah dan dokumen sokongan terutama jika membuat permohonan pertukaran nama disebabkan agama.

"Menukar nama adalah dibenarkan terutama atas faktor keselamatan sebab nama adalah identiti untuk dipanggil. Bagaimanapun, permohonan hendaklah berdasarkan alasan contohnya sebab nama beri maksud tidak baik, bukan sebab pertukaran jantina.

"Ia kerana proses pindaan nama ada peringkat yang meluluskan, bukan di kaunter dapat dapat kelulusan kerana sesuatu permohonan perlu diangkat dan ada panel perlu meluluskannya.

"Bagi orang Islam yang mahu membuat pindaan (kerana pertukaran agama) perlu mendapatkan kelulusan Mahkamah Syariah, jika mahkamah membenarkan baru kita akan proses," kata JPN melalui kenyataan kepada Harian Metro.

Kelulusan bagi sesuatu permohonan adalah berdasarkan dokumen dikemukakan pemohon.

Katanya, proses itu mengambil masa selama 30 hari hingga enam bulan bergantung kepada sesuatu permohonan.

"Jika dokumen dikemukakan sesuai dan tak menyalahi kita akan pertimbangkan. Permohonan pertukaran nama bagi kanak-kanak juga dibenarkan tetapi kini untuk yang bawah umur setahun saja bagi pindaan dalam sijil kelahiran.

"Bagi individu berumur 12 tahun ke atas, pindaan hanya dalam kad pengenalan dan sebab itu, ibu bapa perlu fikirkan nama yang sesuai buat anak mereka sebelum mendaftar kelahiran, sebaiknya dengan dapatkan pandangan ahli agama," katanya.

Sekiranya permohonan gagal, pegawai JPN akan beri khidmat nasihat kepada pemohon .

"Kita akan beri bantuan dan khidmat nasihat, pemohon pula perlu dapatkan pandangan daripada keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 12:30 PM