UQASHA Senrose.
UQASHA Senrose.
GANDINGAN Uqasha dan Syafiq dalam telefilem Ally Akashah.
GANDINGAN Uqasha dan Syafiq dalam telefilem Ally Akashah.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Sejak akhir-akhir ini nama pelakon, Uqasha Senrose, 22, hangat diperkatakan. Berbanding kerjaya lakonan, kisah peribadi kakak kepada pelakon, Nelydia Senrose ini lebih menarik perhatian.

Uqasha kerap dikaitkan dengan lelaki, malah ada segelintir pihak beranggapan dia suka bertukar-tukar teman lelaki.

Dalam erti kata lain, Uqasha dikatakan ‘playgirl’.

Sebelum bergelar selebriti, dia pernah dikaitkan dengan pelawak, Nabil Ahmad.

Selepas itu, Uqasha bercinta dan bertunang dengan pelakon, Pekin Ibrahim. Kemudian intim dengan Syafiq Kyle dan terbaru bersama Iqram Dinzly.

“Saya bukan jenis suka bertukar-tukar pasangan seperti diperkatakan sebaliknya percaya pada takdir. Saya kenal seseorang itu dalam satu masa dan tak pernah main kayu tiga.

“Saya ada terbaca di blog mengatakan saya ‘playgirl’. Saya sedih sangat kenapa sampai tahap itu tanggapan mereka. Itu bukan kehendak saya. Lagipun siapa tak mahu kekal dan bahagia dengan seorang saja,” katanya.

Jelas Uqasha, setiap kata-kata negatif dilemparkan kepadanya ditolak tepi.

“Teguran ke arah positif saya ambil sebagai bentuk pengajaran. Selebihnya saya serahkan kepada Allah. Buat masa sekarang saya berkawan dengan semua orang,” katanya.

Peserta program Super Spontan 2015 ini turut menafikan apa terjadi terhadapnya kini adalah badi putus tunang.

“Tidak sama sekali. Kalau nak tahu, selepas putus tunang saya ambil masa untuk kenal dan rapat dengan orang lain. Ramai membandingkan saya dengan adik kerana dia setia pada yang satu.

“Saya sebolehnya tak mahu lagi bercakap hal ini. Makin banyak saya komen, bimbang nanti membuka aib pihak lain. Cukup saya katakan, ada sebab kenapa kami putus,” katanya.

Tambah Uqasha, dia gembira sekiranya Nelydia berkahwin dulu.

“Macam saya kata tadi, tak salah berkawan dengan ramai orang. Siapa sangka dari situ dipertemukan dengan yang sesuai dan serasi,” katanya.

Kembali dengan Syafiq Kyle

Biarpun sebelum ini bekas pemenang tempat kedua pencarian Hero Remaja itu mengakui antara dia dan Uqasha adalah pasangan kekasih, tetapi tidak bagi Uqasha.

Apa yang pasti, jawapan bercanggah mereka menimbulkan teka-teki. Penafian Uqasha sekali gus memberi gambaran Syafiq Kyle seperti bertepuk sebelah tangan.

Selepas beberapa bulan dikatakan sudah tidak sehaluan atau lebih tepat tidak bersama, Uqasha dan Syafiq Kyle bersatu kembali.

Namun, hubungan itu hanya membabitkan lakonan mereka menerusi telefilem Ally Akashah di TV9.

“Mulanya saya dapat tawaran terlebih dulu. Sepatutnya hero cerita itu ialah Fattah Amin tapi dia ada komitmen lain. Kemudian digantikan dengan Syafiq Kyle.

“Apabila dimaklumkan perkara itu, saya okay dan tak ada masalah. Apatah lagi mereka tawarkan saya dulu. Jika saya menolak, nampak sangat saya tak profesional. Lagi pula kami tak ada masalah, jadi buat apa nak risau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2015 @ 11:11 AM