PEGUAM bela Datuk Wan Azmir Wan Majid (empat dari kiri) meninjau lokasi insiden Mohammad Zaharif (gambar kecil) yang maut akibat dilanggar sebuah kereta di SMK Jati, Taman Jati, Meru, Ipoh.
PEGUAM bela Datuk Wan Azmir Wan Majid (empat dari kiri) meninjau lokasi insiden Mohammad Zaharif (gambar kecil) yang maut akibat dilanggar sebuah kereta di SMK Jati, Taman Jati, Meru, Ipoh.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Pihak pendakwaan berdepan cabaran untuk membuktikan elemen mens rea iaitu niat undang-undang bagi memenuhi kehendak Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Mahmud Jumaat berkata, menerusi seksyen berkenaan, ia memerlukan takat pembuktian maksimum melampaui keraguan munasabah.

"Cabaran pihak pendakwaan adalah memenuhi kehendak Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Beban pembuktian sukar untuk membuktikan bahawa tertuduh bertanggungjawab mengakibatkan kematian kepada si mati.

"Ia juga perlu merangkumi bahawa perbuatan tertuduh itu bukan terhasil daripada kecuaian atau tersalah, tetapi berdasarkan niat yang boleh disesuaikan pada mana-mana kehendak Seksyen 300 Kanun Keseksaan berkenaan.

"Pihak penyiasat atau pendakwaan bukan sahaja memerlukan keterangan yang mencukupi dan semaksimum mungkin, tetapi juga memerlukan bukti yang kukuh serta senarai saksi yang boleh memberikan keterangan dengan tepat dan jelas tanpa keraguan," katanya.

Beliau mengulas kejadian 15 Disember lalu, apabila seorang pegawai kanan polis terbabit kes langgar sehingga menyebabkan kematian seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, Ipoh, Perak.

Mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17 maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar dan diseret sebuah kereta dipandu suspek.

Mahmud berkata, peruntukan perundangan sedia ada sudah memadai tanpa perlu memperkemaskan lagi peraturan sedia ada.

"Seperti yang kita ketahui, segala pindaan yang membabitkan kesalahan kemalangan jalan raya bagi peruntukan Seksyen 41 sehingga 45 Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan 20200 yang berkuat kuasa pada 23 Oktober 2020).

"Ini termasuklah membabitkan kesalahan menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan pada Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 sudahpun dipinda dan diperhebatkan kepada hukuman lebih berat iaitu hukuman penjara selama lima hingga 10 tahun dengan denda sebanyak RM20,000 hingga RM50,000, ia sudah cukup," katanya.

Sementara itu, seorang lagi peguam, Faizal Abd Rahman berpandangan bahawa perlu membezakan antara 'kemalangan jalan raya' dengan perbuatan 'kekerasan atau keganasan di jalan raya.'

Menurutnya, kemalangan itu mempunyai sifat yang tidak diduga atau berlaku secara tiba-tiba yang selalunya disebabkan oleh kecuaian satu atau kedua-dua pihak.

"Jika kita sebut tentang keganasan di jalan raya pula, saya berpandangan sepatutnya tidak wajar dikategorikan sebagai suatu kemalangan sebagaimana definisi biasa.

"Untuk membezakan kedua-duanya, fakta kes setiap kejadian perlu diteliti setiap satu dengan cermat. "Saya mengakui bahawa memang tidak ada kes kemalangan jalan raya yang dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan namun ia tidak menghalang pihak pendakwaan untuk mendakwa seseorang mengikut seksyen berkenaan jika didapati kematian bukan disebabkan oleh 'kemalangan'," katanya.


'Buktikan kenderaan sebagai senjata'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 7:55 AM