ROUZAM tidak dapat menahan sebak ketika mendakap kasut milik suaminya yang syahid. FOTO Reuters
ROUZAM tidak dapat menahan sebak ketika mendakap kasut milik suaminya yang syahid. FOTO Reuters
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Sungguh meruntun hati apabila seorang isteri di Gaza, Palestin mendakap erat sepasang kasut sebagai pengganti suaminya yang terkorban dalam serangan Israel,Sabtu lalu.

Dalam rakaman video tular petang kelmarin, wanita itu dilihat menitiskan air mata sambil mendakap kasut hitam suaminya dan sebelah lagi tangan kirinya mengusap wajah insan kesayangannya itu buat kali terakhir.

Lebih memilukan, rupa-rupanya wanita itu kehilangan suaminya dalam usia perkahwinan mereka baru mencecah enam bulan.

Menurut Rouzam Al-Ashram, impiannya dan suami, Ahmed untuk menghabiskan masa tua bersama termasuk memiliki anak musnah apabila lelaki disayanginya itu terkorban dalam satu serangan udara Israel di Khan Younis,malam Sabtu lalu.

"Enam bulan sebelum perang, kami berkahwin dan mengimpikan memiliki anak yang cantik dan seiras dengannya.

"Kami tinggal di rumah sederhana tetapi ia macam istana di syurga bagi kami.

"Apabila perang bermula, kami dipindahkan dari Gaza City ke Khan Younis, mengikut apa yang didakwa tentera Israel sebagai kawasan selamat.

"Malam tadi (Sabtu) suami saya syahid dia tinggalkan saya keseorangan. Tentera penjajah membunuh semua impian kami bersama," katanya.

Mengenai tindakannya mendakap kasut suaminya itu, Rouzam berkata, hanya itu barangan peninggalan lelaki itu yang boleh dibuat sebagai kenangan seumur hidupnya.

"Saya tak ada apa-apa lagi memori yang tinggal bersamanya kecuali hanya kasut ini.

"Ia akan tetap bersama saya sehingga saya mati," katanya.

Dalam pada itu, perkongsian tular lain menunjukkan, seorang wanita dipercayai ibu kepada Ahmed meraung akibat kehilangan anak lelakinya hingga menyentuh hati netizen.

Wanita itu dilihat berkali-kali mengurut dadanya dan gagal mengawal emosi ketika melihat anaknya pada kali terakhir sehingga terpaksa ditenangkan orang sekelilingnya termasuk menantunya, Rouzam.

"Saya nak anak saya," katanya sambil mendakap jasad kaku anaknya itu.

Setakat petang kelmarin, Kementerian Kesihatan di Gaza merekodkan angka korban di wilayah itu meningkat kepada 17,997 orang manakala 49,229 lagi cedera sejak serangan rejim Zionis 7 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 7:02 AM