DR Khaled Al-Serr. FOTO Instagram Dr Khaled Al-Serr
DR Khaled Al-Serr. FOTO Instagram Dr Khaled Al-Serr
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: "Tolong doakan kami. Ini mungkin panggilan terakhir," kata Dr Khaled Al-Serr yang terperangkap di Hospital Nasser, Khan Younis, selatan Gaza, Palestin.

Pakar pembedahan am itu merayu kepada dunia selepas tentera Israel mula agresif menyerang pusat perubatan itu.

"Penting. Kami diugut supaya meninggalkan hospital ini dengan segera atau tentera Israel akan mula bom hospital," katanya menerusi Instagram, malam tadi.

Seorang lagi pakar perubatan dikenali sebagai Dr Ahmed pula berkata, mereka terperangkap di salah satu bahagian dalam bangunan hospital terbabit.

Katanya, dia turut menyaksikan tiga orang awam ditembak ketika bergerak dalam bangunan.

"Kami terperangkap di bangunan dipanggil Amasaf yang lokasinya kira-kira 50 meter saja dari pintu pagar utama hospital ini.

"Ini sangat berbahaya kerana lokasi kami dari kereta kebal tentera Israel cuma hanya 50 meter," katanya.

DR Haytham. FOTO Dr Haytham
DR Haytham. FOTO Dr Haytham

Sementara itu, seorang lagi doktor dikenali sebagai Dr Haytham berkata, pusat perubatan berkenaan dikepung sejak 22 hari lalu dengan kereta kebal dan jentolak tentera Israel mengepung sebelah utara hospital.

"Ia menyebabkan pintu pagar utama di sebelah utara hospital musnah dibom, begitu juga Sekolah Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (Unrwa).

"Banyak juga kes orang awam cedera ditembak penembak tepat.

"Kami hidup dalam ketakutan dan panik, malah makanan dan ubatan juga semakin kehabisan," katanya.

Selain kakitangan hospital dan pesakit, Hospital Nasser menempatkan ribuan penduduk Gaza yang mendapatkan perlindungan selepas rumah mereka musnah akibat serangan Israel.

Kelmarin, tular seorang tebusan Israel diarah menjadi pengantara menyampaikan arahan pemindahan kepada orang ramai, namun sebaik lelaki itu berjaya menyelesaikan misinya, dia ditembak tentera Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 2:23 PM