Kapar: Seorang remaja perempuan tidak hanya dirogol bergilir-gilir empat lelaki, malah turut diugut dibakar hidup-hidup jika memberitahu kejadian dialami kepada ahli keluarga.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam kelmarin, mangsa berusia 16 tahun didatangi empat lelaki dan seorang wanita berperwatakan lelaki yang menaiki beberapa motosikal di sebuah stesen minyak di kawasan Rantau Panjang di sini.

Sumber polis berkata, suspek berusia antara 16 dan 34 tahun itu kemudian memaksa mangsa menyerahkan wang.

“Mangsa yang memberikan RM15 bagaimanapun dipaksa mengikut mereka ke sebuah pangsapuri di Sungai Kapar Indah di sini.

“Mangsa kemudian dibawa masuk ke sebuah rumah sebelum seorang suspek memaksanya membuka pakaian.

“Tiga suspek merogol mangsa secara bergilir-gilir dalam bilik berkenaan. Mangsa cuba melarikan diri namun ditampar, ditumbuk dan disepak,” katanya.

Sumber berkata, mangsa sekali lagi dirogol seorang lagi suspek sebelum dua telefon bimbit dan dompetnya dilarikan suspek.

“Mangsa juga diugut dibakar hidup-hidup jika kejadian itu dimaklumkan kepada keluarga atau pihak berkuasa.

“Mangsa bagaimanapun membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong mengesahkan kejadian dan berkata semua suspek ditahan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di sebuah rumah di Batu 6, Jalan Kapar di sini.

“Empat daripada suspek termasuk wanita didapati positif dadah selepas ujian air kencing dijalankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 6:41 AM