BELL Ngasri tampil dengan watak Barkoba dan Dak Ngas.
BELL Ngasri tampil dengan watak Barkoba dan Dak Ngas.
Muhamad Lokman Khairi


"MOMENTUM 19 Puasa ini saya rasa bukan rahsia kerana ia terletak kepada pelakon-pelakonnya. Mereka kekalkan momentum itu kerana masing-masing faham watak yang sudah diberi papa."

Itu kata pengarah, Amen Khalid, 27, yang kini meneruskan legasi bapanya yang juga pengarah legenda, Allahyarham Mamat Khalid apabila tampil dengan telefilem terbaharu, 19 Puasa.

19 Puasa mengekalkan pelakon yang terbabit dalam telefilem 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa Di Kampung Pisang sebelum ini seperti Bell Ngasri, Aziz M Osman, Kazar Saisi, Shazwani NS, TJ Isa, Dewa Sapri, Joey Daud, Yeop Hitler, Azman Mantra dan Mohd Rashid Othman.

Turut berlakon Imuda, Sabri Yunus dan Zainuri Misfar.

Amen ketika ditemui di lokasi penggambaran 19 Puasa di Kampung Nelayan Batu 1, Lumut, Perak, baru-baru ini berkata, kekuatan pelakon yang membawa watak ciptaan Mamat memudahkannya untuk mengarah telefilem itu yang bakal ditayangkan tahun depan.

Amen atau nama sebenarnya Mohd Khalid Amen Mohamad berkata, dia bersyukur kerana pelakon dan kru teknikal yang sebelum ini bersama bapanya membantu dalam pembikinan karya itu.

Amen berkata, dia juga sedar pasti ada perbandingan dibuat penonton dengan telefilem berkenaan yang diarahkan Mamat sebelum ini dan dia tiada masalah dengan itu.

"Saya okay saya. Saya faham Mamat Khalid hanya satu dan tiada yang dapat menggantikannya. Sekiranya hendak sampai ke 'level' papa pun akan memakan masa lagi. Jadi, saya berusaha sebaik mungkin menghiburkan masyarakat.

"Saya juga harap penonton terhibur dan boleh terima 19 Puasa. Ini juga adalah permintaan peminat dan kawan-kawan papa," katanya.

Dalam pada itu, Amen mengakui terlalu banyak cabaran dihadapi sepanjang proses penulisan skrip dan penggambaran, namun semuanya dapat diatasi hasil kerjasama pelakon dan kru teknikal yang sudah dianggap olehnya sebagai sebuah keluarga.

Terdahulu pada tahun lalu, Amen tampil dengan buah tangan pertamanya dalam menyambung legasi Mamat iaitu Kampung Pisang Berbuah Dua Kali yang turut menampilkan pelakon yang sama.

Sementara itu, Amen mengakui dia mengambil masa untuk mengumpul semula kekuatan bagi meneruskan hidup serta kerjaya yang ditinggalkan Mamat selepas meninggal dunia pada 24 Oktober 2021.

"Rindu. Setiap hari rindu pada arwah, tapi kita kena teruskan untuk hidup. Papa pun cakap setiap kali ada dalam kalangan ahli keluarga meninggal dunia, kita kena kuat dan teruskan hidup. Jadi, saya pegang pada kata-kata dan semangat itu," katanya.

MASIH mengekalkan barisan pelakon sama dalam 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa Di Kampung Pisang.
MASIH mengekalkan barisan pelakon sama dalam 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa Di Kampung Pisang.

Barkoba bertemu Dak Ngas

Apa yang menarik dalam 19 Puasa ialah Bell Ngasri melakonkan dua watak iaitu Barkoba dan Dak Ngas.

Jika anda peminat telefilem 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa Di Kampung Pisang, pasti tahu dengan kewujudan watak ini.

Kedua-duanya adalah watak yang sama, cuma nama berbeza. Dalam 16 Puasa dan 17 Puasa, Bell membawa watak Dak Ngas, manakala dalam 18 Puasa Di Kampung Pisang, dia membawa watak sebagai Barkoba.

Apa yang menarik, kedua-duanya 'bertemu' dalam 19 Puasa.

Bell atau nama sebenarnya, Nasrizal Ngasri berkata, dalam 19 Puasa, geng ponteng puasa dari 16 Puasa dan 17 Puasa dari Kampung Beko akan bertembung dengan geng ponteng puasa dari 18 Puasa Di Kampung Pisang.

"19 Puasa ada kelainan daripada cerita sebelum ini. Dalam 16 Puasa dan 17 Puasa, saya membawa watak Dak Ngasri. Tapi, ramai yang kenal saya dengan watak Barkoba dalam 18 Puasa Di Kampung Pisang.

"Jadi, kali ni kita jumpakan dua watak itu. Tak pernah berlaku, kan? Kena tengok bagaimana mereka jumpa, saya tak boleh cerita habis," katanya sambil berseloroh.

AMEN harap peminat arwah bapanya boleh menerima hasil pengarahannya.
AMEN harap peminat arwah bapanya boleh menerima hasil pengarahannya.

Bell yang juga Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 berkata, walaupun ia bukan lagi arahan Mamat, penonton tidak perlu bimbang kerana hasil sentuhan Amen juga tetap memiliki 'magis' tersendiri.

"Amen dengan arwah sebenarnya lebih kurang sama. Dia masih muda dan ada idea tersendiri. Kita doakan semoga dia jadi lebih hebat daripada bapanya," katanya.

Sementara itu, Aziz M Osman yang memegang watak Aziz berkata, sebagai pengarah 'otai' dia bangga dengan semangat Amen meneruskan legasi Mamat.

Aziz berkata, dia kini lebih banyak berada di belakang kamera untuk memimpin generasi muda dalam bidang pengarahan filem.

"Saya tak boleh kata saya sebagai pengajar. Sebagai orang lama saya memimpin mereka kerana kita pernah mengalami jatuh bangun dalam kerjaya ini.

"Bagaimana nak bangun tu saya boleh pimpin, tapi untuk persembahan saya tak boleh ajar kerana sentiasa ada perubahan pada setiap zaman. Sentuhan Amen adalah sesuai untuk masa kini kerana dia faham penonton sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 6:00 AM