GAMBAR tular kereta mewah yang kemalangan di Kilometer 63 Jalan Yong Peng, di Kluang Johor, hari ini.
GAMBAR tular kereta mewah yang kemalangan di Kilometer 63 Jalan Yong Peng, di Kluang Johor, hari ini.
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Tiga pemandu warga Singapura terkedu selepas melihat kereta mewah masing-masing remuk gara-gara seorang daripada mereka dipercayai cuai ketika memandu.

Kemalangan itu berlaku kira-kira 9 pagi, hari ini ketika sebuah daripada kenderaan itu ingin membelok, memasuki simpang di Kilometer 63 Jalan Yong Peng, di sini.

Bagaimanapun, semua pemandu itu selamat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Nik Mohd Azmi Husin berkata, ketiga-tiga mereka memandu Mclaren M4 dari Batu 4 ke arah Taman Seri Lambak.

"Apabila tiba di tempat kejadian kereta paling hadapan memperlahankan kenderaannya kerana mahu memasuki simpang kanan dan kereta di tengah-tengah turut membrek.

"Namun kereta paling belakang hilang kawalan dan melanggar kereta di tengah, sebelum kenderaan itu merempuh kereta di hadapannya," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 6:15 PM