AMIZAR diisytiharkan sebagai pemenang PRK Dun Pelangai di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Orang Ramai Felda Kemasul malam ini. FOTO Bernama
AMIZAR diisytiharkan sebagai pemenang PRK Dun Pelangai di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Orang Ramai Felda Kemasul malam ini. FOTO Bernama
Fahmy A Rosli


Bentong: Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai mendorong calonnya, Datuk Amizar Abu Adam komited untuk meneruskan legasi penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman rasmi keputusan PRK terbabit malam ini, beliau sedaya upaya akan memikul amanah dalam menjalankan tanggungjawab kepada warga Pelangai.

Bagi membalas kepercayaan itu, beliau berkata akan turun kelapangan untuk bertemu dengan masyarakat setempat dalam masa terdekat.

"Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana memberikan kemenangan kepada BN. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden (Umno), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pengundi Dun Pelangai yang memilih BN sebagai parti yang akan memberikan perkhidmatan di DUN berkenaan.

"Kepada penduduk Pelangai, pilihan raya sudah habis. Insya-Allah saya akan menjalankan amanah dan lebih penting meneruskan legasi Allahyarham Johari," katanya.

Pada pengisytiharan keputusan rasmi PRK Dun berkenaan malam ini, BN berjaya mengekalkan kerusi Pelangai pada PRK kali ini, dalam pertembungan tiga penjuru.

Amizar memperoleh 7,324 undi sekali gus menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 4,275 undi dengan majoriti 2,949 undi, manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya meraih 47 undi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Dun Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail di Pusat Pengiraan Undi SPR di Dewan Orang Ramai FELDA Kemasul malam ini.

Dengan kemenangan itu, BN mengekalkan 17 kerusi Dun sama jumlah dengan PN. Manakala PH dengan lapan kerusi.

PRK Dun Pelangai diadakan selepas penyandang kawasan itu diisytihar kosong susulan kematian Johari yang terbabit nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 10:02 PM