Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amizar Abu Adam (dua, kiri) menyantuni penduduk setempat ketika sarapan pagi di Felda Chemomoi hari ini. FOTO BERNAMA
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amizar Abu Adam (dua, kiri) menyantuni penduduk setempat ketika sarapan pagi di Felda Chemomoi hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Bentong: Selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) semalam, Datuk Amizar Abu Adam hari ini terus turun padang bagi menawarkan khidmat kepada rakyat.

Amizar yang ditemui selepas menyantuni masyarakat di Felda Chemomoi, di sini, berkata beliau bertemu masyarakat untuk mendengar nasihat, pemintaan serta keluhan mereka untuk dijadikan panduan dalam melaksanakan tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) baharu.

"Saya akan teruskan sesi pertemuan dan menyantuni masyarakat di Dun Pelangai, ia kini menjadi tanggungjawab saya untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di sini," katanya kepada pemberita, di sini.

Pada PRK Dun Pelangai semalam, Amizar menang dengan majoriti 2,949 undi apabila memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi serta calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli yang hanya meraih 47 undi.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Amizar berkata, kemudahan stesen minyak dan menambah baik jaringan komunikasi serta infrastruktur jalan antara keutamaannya bagi penduduk Pelangai.

"Saya juga hendak gerakkan kerja menaik taraf kompleks pasar dan penyelenggaraan padang di Felda Chemomoi, tempat asal saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 12:56 PM