AMIZAR diisytiharkan sebagai pemenang pada PRK DUN Pelangai di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, semalam. FOTO Eizairi Shamsudin
AMIZAR diisytiharkan sebagai pemenang pada PRK DUN Pelangai di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, semalam. FOTO Eizairi Shamsudin
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kejayaan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai pada Pilihan Raya Kecil (PRK), semalam membuktikan keputusan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memilih bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini adalah tindakan yang betul bagi 'survival' (kesinambungan) parti itu.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, bagaimanapun secara dasarnya tanpa gabungan itu, BN tetap boleh mengekalkan kerusi berkenaan namun kemenangan diperoleh dilihat akan tipis pada pilihan raya ini.

Menurutnya, walaupun pola undian kepada parti itu dilihat ada sedikit perubahan kerana gabungan berkenaan, namun dengan sokongan PH yang mana BN memperoleh 97 peratus undi bukan Melayu meningkatkan lagi prestasi parti itu.

"Kita lihat di Pelangai masih kawasan kuat pengaruh BN dan mungkin momentum (kemenangan) daripada PRK Dun Simpang Jeram dan Parlimen Pulai sebelum ini dibawa ke Pelangai (untuk mengekalkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan).

"Berdasarkan analisis undi BN memperoleh 52.1 peratus undi Melayu, manakala Perikatan Nasional (PN) pula 46.8 peratus maknanya (tidak mustahil) ada pertukaran (undi) Umno ke PN.

"Justeru BN boleh kekal di Dun Pelangai kerana prestasi dan kalau diukur dengan pilihan raya lalu, ia dilihat meningkat dengan adanya sokongan 'solid' (padu) PH kerana mendapat 97 peratus undi daripada pengundi bukan Melayu terutama Cina," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

Beliau yang juga pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak UTM berkata, selain itu, ia menunjukkan isyarat pengundi yang mengharapkan kestabilan pentadbiran negeri bersama kerajaan sedia ada di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Biarpun majoriti yang diperoleh kali ini tidak setinggi pilihan raya lalu tetapi ia perlu dilihat kepada faktor keluar mengundi dan pertukaran undi akar umbi Umno kerana gabungan bersama PH (dan memilih PN).

"Tetapi secara dasarnya Umno masih menyakinkan (di Dun Pelangai) dan bagi saya kemenangan itu adalah satu kejayaan besar yang boleh dibanggakan oleh Umno yang melalui episod sukar apabila parti berhadapan krisis, banyak penentang dia (Ahmad Zahid), ada menyokong PN dan semua itu mempunyai pengaruh (dalam menentukan kemenangan)," katanya.

Katanya, justeru ia membuktikan tindakan yang diambil oleh Ahmad Zahid untuk bersama dalam gabungan yang membentuk kerajaan ketika ini adalah tepat.

"Ahmad Zahid memikirkan ketahanan Umno jika memilih bersama PN, peluang Umno untuk kembali pulih semakin samar kerana parti itu akan bertembung dengan semua kerusi (di kawasan) Melayu yang juga ingin ditandingi Bersatu dan Pas.

"(Tetapi) apabila bersama PH, pertembungan kerusi adalah minimum kerana PH parti yang hanya berpengaruh di bandar dan semi-bandar, manakala kerusi luar bandar adalah milik Umno dan sebarang pertembungan di mana-mana kerusi minima mudah diselesaikan seperti dilihat pada pilihan raya enam negeri lalu," katanya.

Sementara itu, mengenai 'gelombang hijau' Dr Mazlan berkata, beliau berpendapat gelombang itu sebenarnya ada di Pahang cuma 'arusnya' saja yang tidak kuat di negeri itu.

"Di Pahang gelombang hijau kuat di sebelah kawasan pantai timur atau kawasan yang ada ciri pengaruh pantai timur (Kelantan dan Terengganu) seperti Kuantan, Temerloh dan Indera Mahkota.

"Bagaimanapun di bahagian barat negeri berkenaan termasuk Pelangai ia masih kuat bersama BN terutama kawasan Felda," katanya.

BN berjaya mengekalkan kerusi Dun Pelangai pada PRK kali ini, dalam pertembungan tiga penjuru.

BN menerusi calonnya, Datuk Amizar Abu Adam memperoleh 7,324 undi sekali gus menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat yang mendapat 4,275 undi dengan majoriti 2,949 undi, manakala calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya meraih 47 undi.

Berita berkaitan:

Anwar ucap tahniah kepada Amizar menang kerusi DUN Pelangai

Amizar mula turun padang, santuni rakyat Pelangai

Tiada gelombang hijau di Pahang, hanya gelombang biru dan merah - Ahmad Zahid

Kemenangan BN petanda pengundi tolak isu 3R - Wan Rosdy

Kemenangan Amizar bukti pengiktirafan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan - Amirudin

'Saya akan teruskan legasi Allahyarham Johari'

BN tak goyah di Pelangai

MAZLAN Ali. FOTO ihsan Mazlan Ali
MAZLAN Ali. FOTO ihsan Mazlan Ali

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 3:01 PM