AHMAD Zahid berucap pada Majlis Perasmian Program Halal On Track di Universiti Malaya hari ini. FOTO Bernama
AHMAD Zahid berucap pada Majlis Perasmian Program Halal On Track di Universiti Malaya hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa majoriti berkurangan yang diperoleh parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai Sabtu lalu adalah disebabkan fitnah dan pelbagai isu yang dilemparkan terhadap calonnya.

"Dalam PRK mana pun, mana-mana calon pun jika mereka diterjah dengan pelbagai fitnah dan isu, pasti situasi itu akan menyebabkan majoriti terjejas.

"Namun yang penting ialah kemenangan itu bukan kemenangan yang kecil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Halal On Track di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai majoriti diperoleh BN dalam PRK Dun Pelangai yang telah berkurangan 50 peratus berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) November tahun lalu.

Pada PRK Dun Pelangai Sabtu lalu, calon BN Datuk Amizar Abu Adam menang dengan majoriti 2,949 undi setelah memperoleh 7,324 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional Kasim Samat yang mendapat 4,375 undi serta calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli yang hanya meraih 47 undi.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menafikan pengurangan majoriti hampir separuh berbanding PRU lalu itu memberi gambaran sokongan terhadap BN semakin berkurangan.

Beliau seterusnya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua parti komponen Kerajaan Perpaduan, kepimpinan BN negeri dan bahagian serta pengundi yang membantu parti itu mempertahankan kerusi Dun Pelangai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 5:09 PM