FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Singapura: Bahasa Melayu mungkin perlu diajar menggunakan Bahasa Inggeris dalam tempoh 40 tahun lagi.

Demikian senario yang mungkin berlaku di Singapura, menurut pakar bahasa Dr Mohamed Aidil Subhan ketika menyampaikan ceramah dalam Siri Cendekiawan Lestari anjuran Yayasan Warisan Melayu baru-baru ini.

Berita Mediacorp melaporkan, dalam ceramah itu, Pensyarah Kanan di Institut Pendidikan Nasional Universiti Teknologi Nanyang (NTU-NIE) itu menyampaikan topik 'Bahasa Melayu Dijunjung, Bahasa Inggeris Digendong - Perspektif Perancangan Bahasa Melayu di Singapura Menjelang 2065'.

Beliau antara lain meluahkan keprihatinan mengenai penggunaan Bahasa Melayu yang semakin kurang menjadi bahasa utama dalam keluarga Melayu.

Menggunakan data Banci Penduduk, Aidil berkata, pada tahun 1980, lebih 97 peratus keluarga Melayu menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama di rumah.

Namun, dalam tempoh 40 tahun selepas itu, banci berkenaan mendapati bilangannya menjunam kepada keluarga Melayu.

Aidil berkata, perlu ada perubahan dalam cara mengajar bahasa berkenaan.

"Ketika ini, kita mengajar Bahasa Melayu dengan menggunakan Bahasa Melayu.

"Mungkin menjelang 2065, kita perlu mengajar Bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa lazim pelajar kerana Bahasa Melayu mungkin tidak akan lagi menjadi bahasa lazim pelajar ketika di rumah," katanya.

Menurutnya, ibu bapa perlu menggunakan domain di rumah sebagai ruang untuk penggunaan Bahasa Melayu.

Dalam ceramahnya itu, beliau menceritakan pengalaman peribadi bagi memaparkan betapa penggunaan bahasa di rumah berperanan mendidik anak kecil mengenai penggunaan dan kosa kata Bahasa Melayu.

"Saya ingat, saya pergi ke sebuah sekolah, ada pelajar cakap dengan gurunya: 'Cikgu saya tidak dapat habiskan kerja rumah'. Cikgunya tanya kenapa. Dia kata: 'Saya tolong atok saya sental bilik air'.

"Saya bila dengar 'sental bilik air', saya rasa syahdu. Sebab istilah sental itu, sudah tidak ada orang gunakan," katanya.

Menurutnya, masyarakat perlu faham bahawa Bahasa Melayu, juga sudah melalui evolusi yang pesat.

"Masyarakat perlu mengenal pasti perancangan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ibunda, serta bahasa warisan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 8:10 PM