DAVE (kanan) aktif dalam bidang pengacaraan di Johor. FOTO Ihsan Dave A Madhavan
DAVE (kanan) aktif dalam bidang pengacaraan di Johor. FOTO Ihsan Dave A Madhavan
Omar Ahmad

Johor Bahru: Dibesarkan di sekeliling masyarakat majmuk yang terdiri daripada masyarakat Melayu, Tionghoa, India dan Orang Asli sejak kecil di Kampung Contoh, Ladang Sungai Kahang, Kluang dekat sini, menjadi kelebihan buat pesara juruhebah, Dave A Madhavan.

Dave kini aktif dalam bidang pengacaraan di Johor malah dia mampu menguasai tiga bahasa kaum utama di Malaysia dengan baik.

Mengakui sistem pendidikan yang dilalui sejak kecil dengan memilih aliran Sekolah Kebangsaan, menjadikan dirinya yang mesra disapa DJ Dave, mudah mendekati masyarakat pelbagai kaum.

"Ada orang beritahu, apabila saya mengacarakan majlis dalam Bahasa Melayu, mereka tidak percaya yang bercakap adalah lelaki berbangsa India.

"Pada 1982, ketika itu saya memohon jawatan Penerbit Rancangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM), pada mulanya saya diletakkan di Rangkaian Merah (radio berbahasa Tamil) tetapi disebabkan bahasa Tamil saya tidak baik, saya dipindahkan ke radio Melayu ketika itu iaitu Radio Tiga Johor.

"Selepas kira-kira tujuh tahun, semua radio aliran bahasa lain iaitu Tamil, Mandarin dan bahasa Inggeris dipusatkan di Angkasapuri di Kuala Lumpur.

"Selepas seminggu siaran untuk bahasa berkenaan ditamatkan, atas permintaan ketua saya, saya tetap berada di Johor. Ketua saya pada masa itu, Encik Azhar meminta saya terbabit dalam rancangan radio Melayu.

"Saya berusaha untuk memperbaiki bahasa malah bercakap di depan cermin. Sehinggakan, pada satu hari, ketika saya bersiaran, saya diberikan salam oleh pendengar," katanya ditemui di kediamannya di Damansara Aliff, di sini.

DAVE mampu menguasai tiga bahasa kaum utama di Malaysia dengan baik. FOTO Omar Ahmad
DAVE mampu menguasai tiga bahasa kaum utama di Malaysia dengan baik. FOTO Omar Ahmad

Menurut Dave, ketika itu, beliau satu-satunya juruhebah bukan Melayu di siaran radio Melayu iaitu Radio RTM JB yang kini dikenali sebagai Johor FM Permata Selatan.

Katanya, dia juga pernah dipinjamkan dua tahun iaitu pada 2007 hingga 2009 di KL FM sebelum bersara pada 2019.

"Ketika bertugas sebagai juruhebah, saya pernah terbabit dalam segmen popular disiarkan pada Jumaat, jam 8 pagi iaitu segmen 'Pantun Tak Siap' (PTS). Saya buat pembayang dan pendengar akan sambung pantun berkenaan.

"Saya suka berpantun, pantun mengasah minda kita supaya menjadi lebih kreatif dan pada masa sama, ia menjadi nasihat kepada masyarakat dalam cara berbeza," katanya yang mempunyai dua cucu.

DAVE (tiga dari kiri) tidak kekok bersama rakan pelbagai kaum. FOTO Ihsan Dave A Madhavan
DAVE (tiga dari kiri) tidak kekok bersama rakan pelbagai kaum. FOTO Ihsan Dave A Madhavan

Bercerita lanjut, bapa kepada empat anak ini berkata, dia mempelajari asas bahasa Mandarin daripada rakan sebelum mempelajarinya dengan lanjut daripada guru di Bandar Baru Uda di sini.

"Saya bergaul dengan semua kaum, saya suka bertegur sapa dengan jiran, rakan dan masyarakat.

"Kenapa saya belajar bahasa Mandarin? Kerana saya hampir ditipu oleh seorang peniaga durian di Pontian. Ketika itu, saya tahu bahasa asas Mandarin.

"Dia cuba menjual durian itu pada harga RM7 sekilogram sedangkan saya dengar, bapanya mengatakan ia berharga RM6.50 sekilogram," katanya.

Menurut Dave, dia turut mengasah kemahiran berbahasa Tamil bagi memastikan dia mampu menjadi juruhebah dengan lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 7:15 AM