LAGU dipersembahkan seniman dari Indonesia ini seakan-akan bantu melegakan perasaan penonton setiap kali berpanggung
LAGU dipersembahkan seniman dari Indonesia ini seakan-akan bantu melegakan perasaan penonton setiap kali berpanggung
Syafil Syazwan Jefri


KATARSIS. Umpama satu kelegaan emosi tatkala menonton dan mendengarkan persembahan hebat oleh seniman dari Indonesia, Kunto Aji.

Kehadirannya berpanggung di acara konsert buat kali kedua ini adalah bagi menjayakan Konsert Nusafest Kunto Aji Live in Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Cukup dikenali dengan lagu 'healing', kehadirannya juga adalah sebagai rangka penutup buat album Mantra Mantra yang kini menjengah usia lima tahun sejak pelancarannya.

"Gembira dapat kembali ke Malaysia untuk konsert solo ini. Jujurnya, saya lebih suka konsert dengan konsep sebegini, di mana penonton dapat berdiri dan bersama-sama menari setiap lagu yang saya sampaikan," katanya.

Sesi temu bual yang tenang dan lancar turut mencungkil pendapat pemuzik berusia 36 tahun itu mengenai jangkaan serta tenaga yang diperolehnya setiap kali berpanggung.

"Berbicara mengenai jangkaan, saya sentiasa akan berikan persembahan terbaik kepada penonton, tidak kira sama ada acara itu ramai atau sepi. Saya juga akan sentiasa sajikan konsep persembahan yang berbeza dan baharu.

"Setiap pentas dan lokasi itu ada tenaganya tersendiri. Ada satu sisi di mana saya sangat selesa membuat persembahan di lokasi sebesar padang bola sepak.

"Ada satu ketika pula, saya selesa kalau dapat membuat persembahan di kelab kecil yang mana pentasnya hanya platform kecil," katanya.

Bercerita mengenai album Mantra Mantra yang kini hampir lengkap rotasi rangka promosinya, Kunto bersyukur kerana album itu turut membawa sama perasaan serta emosi buat pendengar.

SATU kelegaan emosi tatkala menonton persembahan Kunto Aji.
SATU kelegaan emosi tatkala menonton persembahan Kunto Aji.

"Saya bersyukur kerana album Mantra Mantra banyak membicarakan mengenai perasaan. Jadi, apabila orang lain mendengarkan lagu dalam album ini, mereka dapat benar-benar merasakan perasaan itu.

"Alhamdulillah, rata-rata penonton yang hadir sudah tahu mengenai lagu saya. Jadi, saya dapat rasakan tenaga itu.

"September depan, saya akan hadir dengan album terbaharu. Jadi, dua bulan ini adalah penutup untuk album Mantra Mantra dan perlahan-lahan saya akan berikan sedikit cuitan (teaser)," katanya.

Menyentuh mengenai album ketiganya itu, Kunto berkata, ia umpama satu tempat di mana dia menuangkan kisah sepanjang lima tahun terakhir ini.

"Album pertama saya, Generation Y dan album kedua, Mantra Mantra adalah konsepnya tersendiri. Generation Y mengangkat kisah milenial, manakala Mantra Mantra pula sedikit sebanyak mengangkat kisah mengenai kesejahteraan.

"Album ketiga ini pula adalah kisah perjalanan selama lima tahun terakhir saya ini. Dalam perjalanan itu, saya kehilangan bapa, pandemik Covid-19 dan sebagainya.

"Banyak hal yang saya tuangkan dalam album ini dan saya cuba sampaikan perasaan paling besar dalam kehidupan saya iaitu kedewasaan dan tumbuh," katanya.

Ditanya mengenai erti kedewasaan dan tumbuh buatnya secara peribadi, Kunto menggambarkan setiap individu itu umpama ranting.

"Saya selalu bayangkan kita semua bertumbuh umpama ranting pokok, yang mana sentiasa akan mencari cahaya matahari.

SYUKUR lagu-lagunya membantu ‘mengubati’ pendengar.
SYUKUR lagu-lagunya membantu ‘mengubati’ pendengar.

"Apa lagi, situasi pandemik yang melanda banyak mengubah setiap daripada kita. Ada yang berhenti kerja dan memulakan sesuatu cabang kerjaya baharu.

"Saya lihat keindahan itu dan rangkumkan dalam satu album. Seperti selalu, album ini juga memuatkan sembilan karya ciptaan saya sendiri," katanya.

Diminta mengulas mengenai lagu-lagunya yang sering kali dianggap sebagai lagu untuk 'healing', Kunto sentiasa mendidik pendengarnya supaya tidak menghayatinya, namun tidak memegang persepsi bahawa lagu-lagunya sebagai 'ubat'.

"Saya gembira apabila ada yang berkata, lagu saya mampu 'mengubati' perasaan mereka. Tapi, saya tak berhenti di situ dan saya terus mendidik pendengar saya.

"Saya tak mahu timbul persepsi yang salah, di mana ada yang menganggap lagu saya sebagai ubat. Saya tak mahu jadi begitu kerana ada orang yang lebih profesional.

"Tapi, andai kata lagu saya membantu, alhamdulillah. Istilahnya, kadang-kadang ada orang yang mahu cerita mereka didengar, tapi bukan dalam kalangan orang terdekat.

"Jadi, mereka mencari muzik yang sesuai. Mungkin tak menyembuhkan, tetapi sedikit membantu. Dalam kata lain, katarsis. Kelegaan emosi," katanya.

Di acara konsert yang berlangsung selama 90 minit itu, Kunto mempersembahkan lagu popularnya seperti Rancang Rencana, Akhir Bulan, Saudade, Mencusuar, Pengingat, di samping lagu lain serta lagu wajib yang juga single pertamanya, Terlalu Lama Sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 6:00 AM