Kunto Anji bakal adakan persembahan di ibu negara 19 Ogos nanti
Kunto Anji bakal adakan persembahan di ibu negara 19 Ogos nanti
Zaara Talita


NAMA penyanyi, Kunto Anji dari Indonesia bukanlah asing dalam kalangan penggemar muzik tempatan.

Menyemarakkan lagi industri muzik tempatan yang semakin rancak selepas pandemik Covid-19, kedatangan penyanyi itu ke sini memang dinantikan.

Lagu-lagu tulisan dan nyanyiannya menjadi mantera untuk sama ada merawat emosi atau melayan lara dalam dada.

Itulah yang bakal disaksikan nanti di konsertnya di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur pada 19 Ogos ini bermula jam 8.30 malam.

Kali pertama beraksi di Malaysia, inilah tatapan mata perdana Kunto untuk berkongsi ruang dan lagu-lagunya secara 'live' buat khalayak yang mengikuti perkembangan muziknya seraya memuja lagu-lagunya.

Tiket-tiket Fabulous Friday: Kunto Aji akan mula dijual bermula hari Khamis, 28 Julai 2022 bermula pukul 10 pagi di www.dfp.com.my dengan harga RM525 (Meet & Greet), RM325 (diamond) dan RM225 (platinum).

Selepas kejayaan Fabulous Friday: Wings, pihak penganjur iaitu Shiraz Projects merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk menampilkan Kunto yang menjadi kegilaan ramai di Indonesia.

KUNTO akan membawa lagu popularnya dalam konsert berkenaan.
KUNTO akan membawa lagu popularnya dalam konsert berkenaan.

Ketua Pegawai Eskekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Rahim berkata, antara faktor adalah kualiti melodi dan muzik penulis dari Yogyakarta itu.

"Kami sangat bersyukur dan teruja dengan sokongan diberikan peminat terhadap Wings selama dua malam, baru-baru ini.

"Kami rasakan Kunto sangat sesuai dengan selera dan kehendak penonton kini. Muziknya yang berkualiti dan melodinya yang cukup kuat dirasakan sesuai berkumandang di sebuah tempat berprestij seperti Dewan Filharmonik Kuala Lumpur," katanya.

Kunto yang pernah muncul dengan album Generation Y (2015) dan Mantra Mantra (2018) akan membawakan lagu-lagu popularnya seperti Pilu Membiru yang dianggap sebagai sebuah lagu 'stage of grief' (tahap kesedihan) seperti yang tertulis dalam ilmu psikologi.

Penyanyi yang pernah memenangi anugerah Breakthrough Artist of the Year di Indonesian Choice Awards 2015 dan Anugerah Album Terbaik-Terbaik serta Artis Solo Pria/Wanita Alternatif Terbaik di Anugerah Musik Indonesia 2019 bakal muncul dengan band yang dibawa khas dari Indonesia.

Mereka akan berkongsi rasa, perasaan, detik dan lagu-lagunya bagi menjadikan 19 Ogos sebagai satu masa yang akan dikenang sebagai malam yang bersejarah dalam kalendar 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 6:00 PM