KOLABORASI WTCKL, RMHC dan HTA memberi peluang kepada pesakit kanak-kanak menikmati keceriaan ketika Sambutan Hari Kanak-kanak sedunia baru-baru ini.
KOLABORASI WTCKL, RMHC dan HTA memberi peluang kepada pesakit kanak-kanak menikmati keceriaan ketika Sambutan Hari Kanak-kanak sedunia baru-baru ini.
Nurul Husna Mahmud


ZAMAN kanak-kanak adalah sesuatu yang menyeronokkan tanpa mengira keadaan mahupun latar belakang.

Ini antara pengalaman manis 200 pesakit di Hospital Tuanku Azizah Kuala Lumpur (HTA) yang dahulunya dikenali sebagai Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur apabila diraikan dalam satu majlis bermakna sempena Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia baru-baru ini.

Inisiatif murni The World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) bersama pihak HTA yang menceriakan pesakit kanak-kanak menerusi pemberian hadiah. Ia termasuklah permainan, sumbangan makanan dan kehadiran bersama maskot McDonald's Hamburglar dilihat setidaknya dapat memberi dorongan positif untuk kanak-kanak terus bersemangat menjalani rawatan masing-masing.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, penyertaan pihaknya dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) terbabit bertujuan memupuk rasa kasih sayang, sikap kebertanggungjawaban dan prihatin dalam kalangan masyarakat.

"Mesej penting dalam program CSR kali ini adalah tiada seorang kanak-kanak pun terkecuali untuk diraikan atau dihargai terutama kumpulan pesakit kanak-kanak. Kami tunjukkan dengan komitmen iaitu menyantuni golongan terbabit bersama penjaga mereka sebagai tanda rasa kasih, prihatin dan tanggungjawab sebagai salah satu entiti masyarakat.

"Penghargaan juga diberikan kepada pihak RMHC Malaysia dan HTA kerana turut sama membantu pihak WTCKL merealisasikan aktiviti pemberian hadiah, makanan dan keperluan khas untuk pesakit.

"Ia diharap menjadi contoh kepada masyarakat untuk terus membantu komuniti secara sukarela dan membina imej jenama WTCKL sebagai korporat yang dinamik, sensitif, dan penuh belas kasihan," katanya.

Beliau turut memuji barisan kumpulan HTA diketuai Pengarah Hospital, Dr Shamsul Anuar Kamarudin, atas kerja keras pasukan kesihatan itu memberi sokongan luar biasa dan bekerja keras dalam memastikan setiap keperluan kesihatan dan perubatan kanak-kanak dipenuhi secara berterusan sejak Covid-19 melanda.

SUMBANGAN berupa permainan, makanan dan keperluan diagihkan kepada penghuni wad pediatrik HTA.
SUMBANGAN berupa permainan, makanan dan keperluan diagihkan kepada penghuni wad pediatrik HTA.

Selain daripada sesi pemberian hadiah dan menyantuni kanak-kanak, perwakilan WTCKL turut berkesempatan melawat Rumah Ronald McDonald, yang terletak di HTA. Kemudahan ini mempunyai ruang istirahat dan ruang makan,bilik penginapan, surau, dapur, dan bilik dobi yang diurus dengan baik, bertimbang rasa untuk keselesaan keluarga pesakit B40.

Pengurus Rumah Ronald McDonald HTA, Wan Siti Fikriah Wan Ismail menghargai keprihatinan entiti korporat seperti WTCKL apabila menyertakan pihaknya sebagai salah satu rakan strategik dalam program CSR syarikat itu.

"RMHC amat berterima kasih atas segala usaha dan kesediaan WTCKL menyertakan RMHC dalam sebahagian acara terutama projek CSR dijalankan di HTA. Kami berharap untuk lebih banyak program dan kerjasama pada masa depan yang mana memberi manfaat kepada masyarakat terutama keluarga B40 yang mempunyai anak yang menjalani rawatan di hospital," katanya.

Sementara itu Pengarah HTA Dr Shamsul Anuar Kamarudin menzahirkan penghargaan kepada WTCKL kerana memilih HTA untuk kerjasama dalam agenda CSR mereka.

"Sumbangan yang kami terima kali ini pastinya meringankan beban dan memberi keceriaan kepada pesakit dan keluarga. Ini membuktikan aktiviti kesukarelawanan atau khidmat masyarakat di negara semakin berkembang dan mendapat sambutan ramai bukan sahaja dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi juga menjadi perkara penting untuk pelbagai institusi di negara kita.

"Usaha murni ini adalah platform terbaik untuk meruntuhkan tembok dan merapatkan jurang antara badan kerajaan dan masyarakat," katanya.

MENYANTUNI pesakit kanak-kanak dan keluarga antara pendekatan unik dalam inisiatif CSR WTCKL.
MENYANTUNI pesakit kanak-kanak dan keluarga antara pendekatan unik dalam inisiatif CSR WTCKL.

Beliau menambah, inisiatif korporat seperti CSR adalah platform yang baik untuk berkongsi peranan dan berinteraksi dalam usaha memperkasakan msyarakat terutama golongan pesakit yang dikategorikan sebagai kelompok yang memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 6:30 AM