PETUGAS melakukan persiapan peralatan untuk mengundi PRU- 15 di Sekolah Menegah Kebangsaan Taman Maluri. FOTO Aswadi Alias.
PETUGAS melakukan persiapan peralatan untuk mengundi PRU- 15 di Sekolah Menegah Kebangsaan Taman Maluri. FOTO Aswadi Alias.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tioman, Pahang ditunda kepada 7 Disember depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 24 November ini, sementara pengundian awal pada 3 Disember depan.

"Tempoh berkempen ditetapkan 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 24 November Khamis) sehingga jam 11.59 malam, 6 Disember (Selasa).

"Urusan permohonan semua kategori undi pos dan luar negara dibuka secara dalam talian bermula hari ini dan ditutup pada 22 November (Selasa)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, SPR melantik Pegawai Daerah Rompin, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek dan dibantu oleh enam orang Penolong Pegawai Pengurus manakala bagi tujuan pemantauan aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh berkempen, SPR akan menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR).

"Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, Pahang akan digunakan sebagai Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU).

"Pada hari penamaan calon pada 24 November, calon layak yang sah dinamakan sebelum ini dikehendaki hadir ke PPC (Pusat Penamaan Calon) bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan giliran pada kertas undi.

"Sementara, bakal calon baharu yang ingin bertanding hendaklah menyerahkan Kertas Penamaan Calon yang lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di PPC ditetapkan SPR," katanya.

Abdul Ghani berkata, seramai 429 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU Ke-15 Bahagian Pilihan Raya DUN N42 Tioman, Pahang manakala sebanyak 17 pusat mengundi biasa yang mengandungi 52 saluran dan dua pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi dua tempat mengundi awal akan digunakan.

"Secara keseluruhan terdapat 19 pusat mengundi dengan 54 saluran.

"PRU-15 Dun Tioman dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM 3 juta.

"Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) mengandungi seramai 28,465 orang pemilih yang terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 polis dan tiga orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara," katanya.

Calon Perikatan Nasional (PN) Dun Tioman, Md Yunus Ramli meninggal dunia hari ini jam 3.30 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.

Md Yunus, 61, daripada Pas yang sebelum ini pernah bertanding di kerusi sama pada PRU-14 adalah Ketua Pas Cawangan Sungai Puteri dan Pengarah 2 Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil Dun Tioman.

Bagi PRU-15, Dun Tioman menyaksikan pertembungan lima penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (Barisan Nasional).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 1:13 PM