ABDUL Ghani pada sidang media urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
ABDUL Ghani pada sidang media urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
BERNAMA

Putrajaya: Pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram, Johor dianggar membabitkan perbelanjaan sebanyak RM6 juta, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

"Perbelanjaan bagi PRK Parlimen Pulai dianggarkan RM4.5 juta, manakala Dun Simpang Jeram sebanyak RM1.5 juta," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK berkenaan, di sini hari ini.

SPR menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan pada 9 September, manakala penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi tersebut masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September.

"Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 26 Ogos sehingga pukul 11.59 malam, 8 Sept 2023," kata Abdul Ghani.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Abdul Ghani berkata, SPR menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRK bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

"Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantìkan yang telah ditetapkan," katanya.

Maklumat lanjut dan borang permohonan boleh diperoleh daripada portal SPR di www.spr.gov.my mulai hari ini dan tarikh tutup permohonan pada 15 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 1:02 PM