BELL kecapi populariti selepas harungi pahit getir dalam industri seni tanah air hampir empat dekad.
BELL kecapi populariti selepas harungi pahit getir dalam industri seni tanah air hampir empat dekad.
Syafil Syazwan Jefri


USIA perjalanan 37 tahun dalam industri seni tanah air bukan singkat.

Hampir empat dekad meneroka bidang lakonan, akhirnya usaha dan kerja keras pelakon dan pelawak, Bell Ngasri terbayar.

Jumaat lalu, Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri diumumkan sebagai Bintang Paling Popular di acara Anugerah Bintang Popular BH 35 (ABPBH35).

Bell juga diumumkan sebagai Artis Komedi Popular.

Bercerita mengenai keterujaan serta rasa bahagianya, Bell berkongsi kisah pengalaman sepanjang 37 tahun perjalanan seninya.

"Alhamdulillah. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang nak sangat tengok saya pegang trofi ini. Semuanya atas jasa mereka. Tanpa mereka, tak adalah trofi ini dengan saya.

"Tempoh 37 tahun untuk rangkul anugerah ini ini sebenarnya satu benda yang paling sukar. Saya tak pernah mimpi untuk berada di sini," katanya.

Bercerita mengenai awal pembabitannya dalam dunia lakonan, Bell berkongsi mengenai hasrat dan kerja keras ibunya, Habibah Jaafar sejak dia masih kanak-kanak.

"Sepanjang 37 tahun saya berada dalam bidang ini, saya rasa akhirnya berbaloi dengan apa yang saya buat selama ini. Tak sia-sia saya dengar cakap ibu yang suruh berlakon sampai bila-bila. Saya nak belajar bidang lain pun, dia suruh berlakon juga.

"Impian ibu saya, saya sangat hargai. Bintang, saya tak pernah fikir. Paling pun, saya tak pernah fikir. Popular kat belakang dia, lagi saya tak pernah terfikir," katanya.

BELL pernah tak dipedulikan.
BELL pernah tak dipedulikan.

Pernah menolak label populariti kerana ingin menonjolkan bakat dan minatnya dalam seni, Bell akur dengan rezeki yang diberikan Allah kepadanya.

"Popular itu seperti yang pernah saya katakan, ia satu benda yang saya tak perlukan. Saya pernah cakap begitu kepada diri sendiri. Alhamdulillah, 37 tahun saya berada industri tanpa populariti ini. Tapi, itulah. Akhirnya Allah nak tunjuk, bila saya terlalu tak mahu, jadi Dia beri (populariti) kepada saya.

"Saya juga nak ucapkan terima kasih kepada penggiat seni, pengarah dan artis yang selama ini membantu kerjaya saya.

"Mungkin apa yang saya terima ini satu permulaan untuk artis seangkatan saya yang sudah lama. Mereka sudah bertungkus-lumus selama puluhan tahun dan layak diangkat dan mendapat gelaran popular ini. Saya harap sangat supaya kemenangan saya ini menjadi batu loncatan," katanya.

Ditanya mengenai pahit manis sepanjang bergelar anak seni, Bell berkongsi beberapa kisah yang mungkin boleh dijadikan pengajaran.

"Terlalu banyak pahit dan manis sepanjang perjalanan karya seni saya berlangsung. Pada pertengahan hidup sebagai artis, saya pernah berdepan pelbagai kata-kata antaranya 'Macam ini ke jadi artis? Badan 'ketot' macam ini?'.

KONGSI kegembiraan bersama keluarga tercinta.
KONGSI kegembiraan bersama keluarga tercinta.

"Pengarah itu ada dalam dewan anugerah hari ini. Tapi, alhamdulillah akhirnya ini satu bukti kepada mereka yang pernah cakap macam-macam kepada saya.

"Saya nak tunjukkan kepada dia, saya pernah berdiri dengan orang hebat, hero hebat. Pernah juga, ada artis baharu bersama saya di satu acara, tapi orang tak peduli pun dengan saya. Tapi, saya tak pernah simpan apa-apa perasaan," katanya.

Menurut Bell, dia juga pernah keluar bekerja ketika hari perkahwinannya.

"Pada hari perkahwinan saya pun, saya pernah bekerja. Sebabnya, watak saya dalam filem Hati Malaya itu perlu ada untuk babak mengiringi watak Tunku Abdul Rahman.

"Pengarah, Datin Paduka Shuhaimi Baba pun beritahu saya bahawa saya tak perlu datang ke set. Tapi, saya tetap nak datang juga. Pernah juga saya terbabit dalam kemalangan beberapa kali, tapi saya teruskan juga kerja.

"Sebabnya saya fikir mengenai pengarah atau penerbit yang sudah keluarkan kos kepada pelakon, props, lokasi penggambaran, pelakon tambahan dan sebagainya. Kalau saya tak datang dan gagalkan kerja keras mereka, siapa nak tanggung.

"Jadi, itu adalah antara pengorbanan saya sepanjang bergelar anak seni," katanya.

Cukup dikenali sebagai pelakon senior yang sentiasa merendah diri, Bell bersyukur kerana dia mendapat sokongan daripada rakan artis.

"Saya sendiri adalah orang yang sentiasa nak naikkan orang lain. Kalau saya jenis dengki, dari kecil lagi saya boleh dengki. Tapi, alhamdulillah demi Allah tak ada perasaan dengki pun dalam hati saya.

"Saya lagi seronok melihat kawan-kawan naik. Saya suka melihat kawan-kawan antaranya Johan, Zizan, Achey dan kawan-kawan lain dan sekarang, mereka pun menyokong saya.

TAK pernah terfikir jadi popular, apatah lagi sebagai bintang. FOTO Rohanis Shukri
TAK pernah terfikir jadi popular, apatah lagi sebagai bintang. FOTO Rohanis Shukri

"Saya tak pernah tengok di ABPBH, artis lain membantu pesaing dia sendiri. Tapi, alhamdulillah. Mungkin Allah nak tunjuk saya, sebab tak ada perasaan dengki, dia bagi kawan-kawan yang naikkan saya," katanya.

Ditanya mengenai mewujudkan kelab peminat, Bell berkata, dia tidak memiliki ilmu dan pengalaman perihal itu.

"Saya nak buat kelab peminat, tapi saya tak belajar ke arah itu dan saya tak tahu. Yang pandai mengenai kelab peminat dan sebagainya adalah artis popular kerana mereka ada kumpulan peminat mereka sendiri.

"Apabila ada peminat yang beritahu saya, mereka undi sampai macam nak tercabut jari, ada dalam kalangan mereka tidak pernah undi untuk anugerah ini sebelum ini, sekarang mereka sudah mula ambil tahu dan ambil berat.

"Semoga dengan pencapaian ini, hubungan saya dengan peminat yang menyokong saya berkekalan sampai bila-bila. Harapnya, hanya berhenti setakat ini. Teruskan sokong perjalanan seni saya selepas ini.

"Mereka sayang saya sangat dan saya pun begitu juga. Insya-Allah, saya akan berlakon dalam cerita yang mereka suka. Saya bertukar dari drama serius kepada komedi pun sebab niat saya nak hiburkan rakyat Malaysia serta diri saya sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 7:00 AM