Datuk Afdlin Shauki
Datuk Afdlin Shauki
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pengarah Datuk Afdlin Shauki menggesa pihak berkuasa menjejaki dalang kes simbah asid terhadap pemain Harimau Malaya, Faisal Halim yang sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Shah Alam, Selangor.

Afdlin berkata, sebaik suspek dikenal pasti dia berharap pihak berkuasa dapat menyiasat individu sebenar yang merancang perbuatan terkutuk itu.

"Ini kerana, untuk mendapatkan asid bukan satu hal mudah, jadi pasti ada individu yang berperanan penting berada di belakang mereka.

"Apabila perkara sebegini berlaku, membuatkan kita berfikir tentang keselamatan kita sebagai orang awam. Adakah ini satu kehidupan baharu yang kita kena hadapi.

"Sekiranya ada individu yang berasa tidak puas hati, mereka terus melakukan serangan seperti simbah asid dan sebagainya. Saya tidak mahu Malaysia menjadi negara sebegini.

"Sekiranya ada masalah, kita berbincang dan kalau kita betul tidak suka, pilih cara bertolak ansur," katanya.

Menurut Afdlin, berpeluang mengenali Faisal ketika di set penggambaran filem arahannya, Harimau Malaya: The Untold Journey dia menyifatkan Faisal seorang individu yang baik.

"Saya memang nak menziarah di hospital, tetapi kami dinasihatkan agar memberi ruang kepada Faisal selesai jalani pembedahan dan rawatan kerana dia kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

"Dia adalah pemain bola sepak skuad kebangsaan yang menjadi kebanggaan kita. Faisal berusaha keras sejak kecil untuk dia berada di tahap sekarang.

"Dia seorang yang baik dan tenang. Malah cukup peramah sewaktu dia menjalani satu babak untuk filem ini.

"Kami masing-masing terkesima kerana saling mengagumi bakat yang dimiliki. Saya menghormati dia sebagai seorang pemain bola sepak kebanggaan negara," katanya.

Ahad lalu Faisal mengalami kecederaan selepas disimbah asid hingga mengakibatkan kelucuran di beberapa bahagian badannya oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 2:23 PM