MEMBANTU isterinya memasarkan karipap kepada pelanggan.
MEMBANTU isterinya memasarkan karipap kepada pelanggan.
Ridzuan Abdul Rahman


ZAMAN 'glamor' dan dipuja ribuan peminat diakui sudah pun pernah dikecapi dan dilalui penyanyi, Bandi Amuk.

Justeru pada usianya sekarang, Bandi, 57, mendakwa dia penat apabila melihat segelintir rakan-rakannya masih ligat dan seronok membicarakan hal dunia.

"Umur pun dah macam begini, jadi kalau tak buat persediaan untuk ke sana (alam akhirat) memang agak menyedihkan.

"Bukan nak kata yang saya bagus sangat kerana sekarang pun masih belajar lagi, tapi saya galakkan kawan-kawan kalau boleh soal dunia ini jangan letak di hati.

BANDI ketika mengikuti kelas mengaji al-Quran.
BANDI ketika mengikuti kelas mengaji al-Quran.

"Sebaliknya dunia pegang di tangan sahaja kerana kalau di hati susah nak lepas. Kejar akhirat, dunia akan kejar kita percayalah," katanya yang baharu sahaja khatam al-Quran secara Talaqqi (berdepan guru).

Bandi atau nama sebenarnya Nasabandi Jumat yang mula mengikuti pengajian al-Quran dari peringkat asas Iqra sejak 2017 berkata, ada yang bertanya apa dilakukannya di rumah dan dia menjawab kembali mengaji al-Quran.

"Rasa seronok apabila mendalami al-Quran. Malah pergi show di mana-mana pun saya bawa al-Quran mini. Lepas solat, saya baca dua tiga surah.

"Daripada tak buat apa-apa terutama lepas solat Subuh, memang rasa seronok dapat buat.

"Saya nasihatkan kawan-kawan, soal cari rezeki itu memang rezeki. Tapi, jangan lupa juga amal ibadah," katanya.

Menurutnya, sudah beberapa tahun dia ditawarkan terbabit dengan program pertandingan nyanyian popular, namun dia menolak.

"Saya beritahu bukan tak nak masuk, tapi saya tak nak lepaskan kelas mengaji dan barulah mereka faham.

BERSAMA isteri tercinta yang tidak jemu menyokong perjuangannya dalam seni.
BERSAMA isteri tercinta yang tidak jemu menyokong perjuangannya dalam seni.

"Saya nak habiskan mengaji sehingga khatam. Buatnya esok atau lusa saya meninggal tak sempat nak khatam, apa akan jadi?

"Sekarang dah khatam saya rasa lega. Sekurang-kurangnya kalau diajak masuk selepas ini, saya akan fikirkan. Perkara utama yang sepatutnya kena buat, memang saya cari duhulu," katanya.

Menurut Bandi, mengaji al-Quran juga bukan alasan untuknya meninggalkan terus bidang seni kerana nyanyian adalah sumber rezekinya.

"Saya masih menyanyi seperti biasa. Sesekali datang 'feel' persembahan, saya agresif juga atas pentas. Tapi, saya jaga adab.

"Ada yang tengok 'showmanship' saya, mesti kata umur saya macam 30 atau 40-an sedangkan saya dah nak cecah 60 tahun.

"Sekarang pun semua aktiviti terhenti akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun saya bersyukur dapat bantu isteri pasarkan karipap 'frozen' hasil air tangannya jenama Ida Bandi," katanya.

Kata Bandi lagi, dia bersyukur kerana karipap yang dijual dengan harga RM10 untuk 20 ketul itu mendapat sambutan menggalakkan dari penduduk sekitar rumahnya di Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 6:19 AM