Kuala Lumpur : Pelakon dan pelawak, Bell Ngasri tidak menyangka akan mendapat sokongan luar biasa daripada peminat-peminat yang menyokongnya selaku calon Top 5 untuk kategori Artis Komedi Popular di Anugerah Bintang Popular BH 35 (ABPBH35).

Dalam hantarannya di Instagram, Bell yang tidak pernah tercalon dalam kategori itu meluahkan rasa syukur dan terima kasihnya kepada beberapa individu termasuk daripada kumpulan yang diwujudkan di Facebook seperti Persatuan Ibu-Ibu Comel Mengandung.

"Saya tak sangka dapat sokongan sebegini rupa. Dari negeri yang bukan negeri asal saya pun ada, kawan-kawan artis yang lebih hebat dan popular pun ada, persatuan itu, persatuan ini dan macam-macam.

"Terima kasih sangat-sangat. Top 5 ini pun saya dah bersyukur sangat. Saya tetap sama saja, sama seperti orang lain. Tapi, yang tak tahan, yang terakhir itu, Persatuan Ibu-Ibu Comel Mengandung pun ada.

"Terus saya terbayang semasa ibu-ibu mengandung dalam perjalanan nak beranak pun, masih mengundi. Selepas itu, anak baru lahir pun, mengundi juga," tulisnya.

Antara undian adalah daripada peminatnya yang juga individu dari Sabah.

"Saya tidak pernah mengundi anugerah ABPBH ini. Tapi, tahun ini saya mahu kempen untuk Barkoba (Bell Ngasri).

"Beri peluang dia menang anugerah tahun ini. Dia menghiburkan kita dari kita kecil lagi sampai sekarang. Dari zaman TV1 dan TV2, dia sudah menghiburkan kita sejak dia masih kecil. Belum pernah menang anugerah," tulisnya.

Sementara itu, rakan artis yang juga pelawak, Jihan Muse turut mengajak peminat untuk mengundi Bell.

"Jom undi Bell Ngasri selayaknya, walaupun bercakap asyik menjerit (seperti) nak marah saja," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 2:26 PM