BELL Ngasri memenangi kategori bagi Artis Komedi Popular pada malam kemuncak ABPBH 35. FOTO Asyraf Hamzah
BELL Ngasri memenangi kategori bagi Artis Komedi Popular pada malam kemuncak ABPBH 35. FOTO Asyraf Hamzah
Farihad Shalla Mahmud


Kuala Lumpur: Pemenang Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-35, Bell Ngasri mendedahkan pernah dihina seorang pengarah terkenal yang mempertikaikan bakat lakonannya hanya kerana bertubuh pendek.

Bagaimanapun, Bell atau nama sebenarnya, Nasrizal Ngasri, 43, berkata, dia tidak pernah mengambil hati dengan kata-kata negatif seperti itu.

Sebaliknya, katanya, dia menjadikan penghinaan sebagai pembakar semangat untuk mengecapi kejayaan.

"Sepanjang hidup saya sebagai artis, saya banyak melalui pahit manis. Pernah ada yang berkata kepada saya, 'Macam ni ke jadi artis, badan ketot macam kau ni?'

"Demi Allah, ini memang betul terjadi. Pengarah berkata begitu ada dalam (panggung) tadi.

"Kalau awak yang kena macam mana? Sudah tentu ia akan melunturkan semangat diri.

"Tetapi, Alhamdulillah, ini adalah satu bukti kepada mereka yang pernah buat begitu pada saya," katanya sambil menunjukkan trofi kemenangannya pada sidang media sebaik sahaja malam kemuncak ABPBH 35 yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya berakhir.

Meskipun pernah diaibkan dengan penghinaan seperti itu, namun, Bell berkata, situasi itu tidak pernah membuatkannya putus asa hingga mahu mengundurkan diri dari dunia seni.

Malah, anak kepada pasangan penyiar dan pelakon, Ngasri Sain dan Habibah Jaafar ini tiada sekelumit pun perasaan dengki dalam hati terhadap artis lain yang mengalami nasib lebih cerah berbanding dirinya.

"Walaupun orang pernah buat tak peduli kepada saya, tetapi saya tetap suka nak bantu untuk naikkan orang lain.

"Kalau nak ada perasaan dengki sejak dulu lagi saya boleh nak dengki dengan orang. Tetapi, saya bersyukur tiada sedikit pun perasaan dengki dalam diri.

"Saya lagi seronok sokong kawan-kawan saya lain seperti Zizan Razak, Johan dan Achey. Alhamdulillah, sekarang ini mereka juga menyokong saya.

"Mungkin disebabkan saya tak pernah nak berdengki dengan orang, Allah berikan saya rakan-rakan yang membantu menaikkan saya," luah pelakon yang terkenal dengan watak lelaki malas puasa bernama Barkoba daam telefilem 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa arahan Allahyarham Mamat Khalid.

Terdahulu, selain diangkat sebagai Bintang Paling Popular, Bell turut mengungguli kategori Artis Komedi Terbaik, ABPBH 35 sekali gus menewaskan nama besar seperti Zizan, Johan, Jaa Suzuran dan Syahmi Sazli.

Kemenangannya sebagai Bintang Paling Popular membolehkan pelakon yang terkenal dengan slogan 'yak yak yeay' ini membawa pulang trofi, kotak istimewa Fellera X ABPBH 35 sumbangan penaja utama, Fellera Skin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 1:35 PM