TENGKU Adnan (kanan) dan Lat (dua dari kanan) melihat arca pada Majlis Perasmian Arca Karektor Kartun Lat di Dataran laluan Jejak Warisan 2 Jalan Melaka, semalam.
TENGKU Adnan (kanan) dan Lat (dua dari kanan) melihat arca pada Majlis Perasmian Arca Karektor Kartun Lat di Dataran laluan Jejak Warisan 2 Jalan Melaka, semalam.

Kuala Lumpur: “Melukis karikatur sinis mesti ada batas, karya itu bukan untuk mengata sesiapa,” tegas kartunis tersohor Datuk Mohammad Nor Khalid.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Lat mengingatkan pelukis kartun generasi baru sekarang supaya memastikan setiap karya karikatur disukai oleh subjeknya.

“Apabila saya melukis karikatur, orang yang paling gembira yang ialah subjek itu sendiri apabila dia melihat hasilnya.

“Contohnya, Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri), saya lukis hidung beliau besar sedikit tapi beliau tidak marah dan beliau rasa begitu selama lebih 20 tahun saya lukis beliau,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Arca Karektor Kartun Lat di sini, semalam.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sebanyak 22 karakter yang sinonim dan kerap muncul dalam komik karya Lat kini menjadi sebahagian daripada mercu tanda dan hiasan landskap di ll lokasi sepanjang Jalan Melaka, Jalan Gereja dan sebahagian Jalan Raja Chulan.

Dalam pada itu, Lat menasihatkan golongan seni supaya tidak merungut dengan keadaan mereka yang mungkin tidak mendapat perhatian atau bantuan daripada mana-mana pihak.

Sebaliknya, katanya lagi, mereka perlu sentiasa positif dan menyayangi masyarakat.

Terdahulu, Tengku Adnan dalam ucapannya berkata, projek itu adalah inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menyediakan prasarana bagi melengkapkan aspek elemen-elemen reka bentuk bandar di bandar raya ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 8:51 AM